Imbau pejuang merdeka sambil melangkah 10k

TAMBUN: Lebih 100 peserta terlibat dalam program 10,000 Langkah Merdeka anjuran Ameerah Kawasan Tambun dengan yang diadakan di Dataran Sunway City, di sini kelmarin dahulu.

Advertisement

Program julung kali ini telah dijayakan dengan kerjasama Lajnah Dakwah serta Lajnah Kebudayaan, Kesenian dan Rekreasi Dewan Muslimat PAS Kawasan Tambun.

Ia diadakan bagi menyahut seruan Dewan Muslimat PAS Negeri  Perak sempena bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia yang berlangsung dari Ogos sehingga 16 September depan.

Antara kelainan program ini ialah para peserta ditugaskan untuk mengutip sampah yang berada di sekitar bertepatan dengan slogan kemerdekaan tahun ini iaitu “Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih”.

Ketua Muslimat PAS Tambun, Yusmaliza Yusof menyatakan, generasi kini perlulah meneruskan perjuangan pejuang kemerdekaan seperti Tunku Abdul Rahman, Tok Janggut dan Mat Kilau.

Katanya, kemerdekaan sebenar ialah merdeka dari segi jiwa, bebas mengamalkan Islam dan apabila memilih pimpinan yang mempertahankan bukan sahaja bangsa, tetapi juga meletakkan agama Islam di tempat tertinggi.

Beliau juga mengingatkan para peserta untuk menerapkan nilai kasih sayang bukan sahaja kepada Malaysia, tetapi juga kepada saudara seagama yang kini ditindas di Kashmir, Uyghur dan Palestin.

Program tersebut turut diserikan dengan aktiviti ‘speaker corner’ yang menampilkan ahli Ameerah berkongsi mengenai kemerdekaan diselangi dengan cabutan bertuah. – HARAKAHDAILY 11/9/2019

IMG 20190911 WA0017