Pakaian atlet wanita: Pusat mampu beri impak positif

TAHNIAH diucapkan atas tindakan berani dan berprinsip Exco Sukan Negeri Terengganu yang bersedia untuk menarik diri daripada sukan gimnastik dan gimrama wanita atas dasar tuntutan yang perlu dipenuhi bercanggah dengan garis panduan syariat Islam.

Advertisement

Langkah ini selari dengan apa yang digariskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di dalam perkara 10.2 Garis Panduan Bersukan Menurut Islam yang menyatakan syarat penyertaan wanita dalam sukan-sukan yang bercanggah dengan fitrah kewanitaan mereka dan bertentangan dengan adab, adat dan tatasusila adalah dilarang.

Sewajarnya Kerajaan menyokong penuh hasrat murni tersebut malah ia patut dinaik taraf sebagai sebuah akta bagi diaplikasikan secara meluas dalam semua arena sukan.

Adalah lebih baik sekiranya perjumpaan yang bakal diadakan di antara YB Syed Saddiq dengan Exco Terengganu sebagai perjumpaan bagi mendapat pandangan secara langsung dari pihak exco negeri agar dapat mencari langkah penyelesaian terbaik kepada isu etika pemakaian atlet wanita Islam yang berdasarkan tuntutan syarak berbanding perjumpaan sekadar nasihat mahupun pujukan ke arah penerimaan cara hidup Barat.

Saya mengharapkan perbincangan tersebut tidak mengetepikan penetapan acara khusus yang boleh disertai atlet muslim dan non-muslim. Hal ini bagi memudahkan etika berpakaian yang sebenar terutama bagi atlet wanita muslim dalam menghormati tuntutan agama. Kerajaan seharusnya adil membuat keputusan agar tidak menzalimi mana-mana atlet yang ingin bersukan pada masa yang sama mampu melaksanakan Syariah Islam.

Keadilan kerajaan dalam memberi ruang kepada atlet mengamalkan syiar Islam mampu membentuk imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam sekali gus akan lebih dihormati disebabkan tidak terikut-ikut dengan budaya barat.

Islam tidak melarang umatnya bersukan malah menggalakkan penganutnya menyertai bidang ini, sebagaimana maksud hadis Rasullullah SAW, tidak akan dijangkiti penyakit bagi orang yang sihat. Namun begitu aktiviti ini tidak boleh mengetepikan tuntutan syarak serta tidak meninggalkan nilai kesopanan, adat dan budaya Melayu Islam.

Justeru, kerajaan sewajarnya mencari jalan penyelesaian terbaik dalam menyelesaikan isu etika pemakaian atlet pada masa yang sama tidak membelakangi tuntutan syarak bagi memberi hak kepada seseorang wanita Islam sekali gus ia mampu membantu atlet-atlet bersedia untuk berhadapan dengan Allah dengan memenuhi kewajipan seorang muslim.

Kerajaan juga seharusnya bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Terengganu agar hasil tersebut mampu memberi impak positif bukan sahaja kepada atlet Terengganu malah kepada semua atlet kebangsaan.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB WAN HASSAN MOHD RAMLI
Ahli Parlimen Dungun
10 September 2019 | 10 Muharam 1441 – HARAKAHDAILY 10/9/2019