Tragedi Si Duku

DUKU ialah sejenis buah yang enak dimakan. Spesis sama dengan langsat dan dokong, tapi jauh beza dengan rambai dari segi rasanya. Dahulu, duku biasanya ada di Terengganu, jarang ada di tempat lain. Maksud saya, duku Terengganu yang dipanggil orang itu, mempunyai rasa yang berlainan dengan duku yang tumbuh di tempat lain. Sangat berbeza dengan duku Kelantan. Duku Terengganu lebih unggul.

Advertisement

Disebabkan rasanya yang agak unik dan kering ketika membukanya berbeza dengan langsat yang mengeluarkan getah ketika dibuka untuk dimakan, duku Terengganu menjadi laris di pasaran. Permaisuri buah, mungkin? Durian tetap raja, nombor satu. Maka duku pun mendapat tempat di hati pelanggan. Harga yang dijual juga agak mahal kerana kebanyakan duku, tidak boleh didapati di tempat lain. Pada kebiasaannya ia tumbuh di sekitar kawasan tertentu sahaja di Terengganu.

Agak cerewet untuk menguruskan duku. Ketika mahu menurunkan duku, tidak boleh dipetik sembarangan. Mesti dipanjat, dikutip satu persatu dengan diletakkan dalam kain, ataupun dibawa bakul ke atas pokok yang diikat dengan tali bagi menurunkannya secara perlahan-lahan. Waktu untuk memetik duku juga, tidak boleh terlalu awal pagi, kerana buah berisiko pecah. Apabila sampai ke tanah, duku diatur di dalam raga yang kemudiannya dilapik pula dengan kertas supaya tidak bertindih dengan cara yang tidak sepatutnya bagi perjalanan jauh. Nanti lebam-lebam buah duku ini, jatuhlah harga. Jadi pemanjat-pemanjat profesional diperlukan, satu kerjaya yang bagus.

Ada pemanjat yang meminta upah dengan tukaran buah, bukan duit, kerana lebih untung. Pokok duku juga dikatakan mempunyai dahan yang sangat kenyal dan gagah, walaupun kecil saiznya. Maksudnya jika dipijak oleh si pemanjat, ianya hanya melendut, jarang yang patah, memudahkan si pengutip untuk pergi ke hujung dahan. Saya juga mempunyai beberapa pokok duku. Pun begitu, walaupun dijamin orang dahannya sangat kenyal, sehingga kini, saya masih belum cuba memanjatnya kerana takut, bila saya sampai di bahagian atas pokok, hujung pokok itu membengkok mencecah ke tanah, akibat terlalu kenyalnya pokok dengan beban yang terlebih.

Oleh kerana ianya tidak boleh didapati di mana-mana kawasan dan pada kawasan terhad sahaja di Terengganu, maka keluk permintaan dan penawaran duku, menjadi tidak seimbang. Duku sering menjadi sasaran untuk dieksport kerana ianya lebih menguntungkan berbanding dengan pasaran tempatan. Duku yang berkualiti ‘premium’ agak sukar ditemui di pasar-pasar tempatan, mereka beramai-ramai mengeksportnya ke Singapura atas alasan laba yang lebih. Dan duku di pasaran tempatan juga menjadi mahal, tetapi tetap menjadi rebutan.

Itu sekitar tahun-tahun sebelum 2000. Ketika itu keyakinan menyatakan bahawa hanya tanah-tanah di tepi Sungai Terengganu sahaja yang subur untuk penanaman duku. Tuan-tuan duku menjadi kaya kerana hasil yang besar itu, anak-anak mereka juga menjadi rebutan. Paling terkenal ialah duku dari Serada. Dikatakan juga anak-anak dara yang berasal dari sekitar kampung yang banyak pokok duku, kulit mereka lebih putih dan cantik kerana kawasan duku hidup, persekitarannya redup pada kebiasaannya. Mungkin orang berkulit gelap, boleh memikirkan cara memutihkan kulit mereka secara semulajadi ini.

Tiba pada satu ketika, semakin lama, semakin berkuranglah orang tengah yang datang dari sekitar Johor datang memborong duku. Duku semakin lama, semakin banyak, bukan kerana hasilnya semakin bertambah, tetapi kerana kurangnya permintaan untuk dieksport ke Singapura. Puas ditawarkan, duku masih juga belum diambil pemborong. Tuan duku susah hati. Angan-angan awal untuk berbuat dengan hasil duku, nampaknya tidak tercapai. Keadaan menjadi bertambah buruk, tidak semakin baik. Akhirnya duku dilonggokkan di pasaran tempatan sahaja dengan harga yang merudum. Semenjak itu, duku tidak pernah mendapat kembali harga kegemilangannya.

Siasatan dibuat dan didapati rupanya duku telah ditanam oleh pemborong-pemborong Cina itu di sekitar Selatan Tanah Air. Segeralah mitos yang mendakwa duku berkualiti itu hanya sesuai hidup di Terengganu, berakhir. Rupanya dengan teknik yang betul, gabungan tanah, baja dan pemeriksaan yang tepat, pertanian boleh dijalankan dimana-mana. Lihatlah anggur, sesuatu yang tidak pernah kita fikir boleh ditanam di Malaysia, sekarang mempunyai kebunnya sendiri. Yang perlu ialah usaha, kesungguhan dan pengetahuan.

Rupanya pemborong itu selama bertahun-tahun mengkaji cara dan tempat menanam duku ini. Mereka berusaha dan berjaya. Ia adalah kerana mereka mahukan keuntungan yang lebih dalam perniagaan mereka. Mereka bukan memboikot duku Terengganu, cuma mereka sekarang telah mempunyai kebun mereka sendiri dan lebih dekat dengan Singapura yang pastinya akan mengurangkan kos mereka. Dan para pengusaha duku di Terengganu, tidak pernah menuduh duku mereka diboikot oleh orang Cina. Itu adalah pilihan pelanggan. Maka tragedi pun bermula kepada si duku.

Oleh kerana duku sekarang sangat jatuh harganya, ada segelintir pemilik pokok duku apabila orang mahu membeli duku, hanya menjawab, panjatlah sendiri. Bukan semua, tapi ada. Mungkin kerana jumlah yang mahu dibeli sangat sedikit dan tidak berbaloi bagi dia mengupah pemanjat. Jadi, teknik pemborong membuat kebun duku yang lebih menguntungkan, telah lama berlaku. Mereka membeli dengan bangsa mereka. Kita baharu sekarang hendak memulakan kempen, tetapi sudah dituduh macam-macam. Kesian sungguh kepada orang Melayu Islam, ditambah ada kalangan yang menyokong itu juga dari kalangan bangsa mereka sendiri.

Dan semalam saya ada membaca satu catatan yang saya fikir sangat munasabah untuk dipertimbangkan. Kempen ‘Buy Muslim First’ (BMF) ini, baharu sahaja bermula, tetapi Menteri-menteri sudah menyalak mengatakan bahawa bangsa lain kerugian. Sebenarnya mereka mahu meletakkan kesalahan dan kegagalan mereka menguruskan ekonomi kepada kempen BMF ini. Jelas ekonomi sudah teruk sebelum ini lagi dan kempen yang baharu bermula ini dikambing hitamkan. Tetapkan hati kita dengan BMF ini, kita akan berjaya mengukuhkan ekonomi melayu Islam insya-Allah.

MOHD NASIR ABDULLAH
Bukit Payong, Marang – HARAKAHDAILY 11/9/2019