Gabung hilangkan identiti dan kekuatan Terengganu

DUA buah universiti ulung di Terengganu bakal disatukan. Begitulah nampaknya cerita hangat sekitar Terengganu hari ini. Kebetulannya, saya membesar berhampiran kedua universiti kebanggaan rakyat Terengganu.

Advertisement

Dahulunya UMT dikenali UPM, kemudian KUSTEM dan kini Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Dahulunya yang masyhur di sini hanya Pulau Kucing. Lokasi yang menempatkan UMT sekarang. Orang-orang baru tak tahu sangat kisah pulau ini.

UNISZA pula dari KUSZA, kemudian Universiti Darul Iman (UDM) dan kini Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA). Kalau saya sentuh isu gabungan ini, tidak lebih hanya dari sudut pandang anak mukim dan rakyat Terengganu. Bukan dari sudut kacamata ahli politik.

Pada amatan saya, cadangan gabungan ini merugikan rakyat Terengganu, yelah dari dua buah menjadi hanya sebuah. Kekuatan di Unisza pada Pengajian Islam dan di UMT pula dalam bidang Laut dan Maritim. Ia adalah refleksi kepada identiti negeri Terengganu itu sendiri.

Rakyatnya menghasilkan barisan ulamak sejak dahulu lagi dan agama Islam menjadi tunjang kehidupan. Industri maritim dan perikanan pula begitu sinonim dengan sejarah dan rakyat negeri ini.

Penggabungan ini sudah pasti menghilangkan identiti dan kekuatan itu. Pada rakyat Terengganu, ia ada nilai warisan dan lambang keilmuan negeri ini. Perlu diambil kira pandangan kami penduduk negeri ini.

Sepanjang kedua-dua universiti ini beroperasi, terlalu banyak manfaat yang diperolehi rakyat setempat melalui pelbagai aktiviti dan program kemasyarakatan yang dijalankan. Bayangkan jika penggabungan ini berlaku, pengurangan yang ketara bakal berlaku pada aktiviti berorientasikan penduduk setempat. Manfaat rakyat, komuniti dan negeri Terengganu yang paling akan terkesan dengan penggabungan ini. Jangan hanya kerana beralasan penjimatan kewangan, keperihatinan kepada rakyat diabaikan.

Lainlah kalau di universiti ini tidak mendapat sambutan. Tiada pelajar yang ingin menyambung pengajian di sini. Malah kini, di persekitaran ini muncul warga asing yang ramai untuk melanjutkan pelajaran di kedua universiti.

Kalau saya syorkan, janganlah gabungkan UMT dan UNISZA ini. Kekalkan mengikut acuan disiplin masing-masing. Malah Terengganu sebenarnya masih memerlukan universiti baru untuk bertapak di mana-mana lokasi di sebalik keluasan negeri ini bagi memperkukuhkan elemen pendidikan dan membantu usaha mengembangkan ekonomi rakyat.

USTAZ HISHAMUDDIN ABDUL KARIM
Adun Tepoh – HARAKAHDAILY 12/9/2019