Jual MyKad: Kedaulatan negara boleh tergadai

idris2

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad menyifatkan perbuatan menjual dokumen pengenalan diri (MyKad) kepada warga asing sangat terkutuk.

Advertisement

Katanya, perbuatan sedemikian membahayakan keselamatan negara kerana ia melibatkan soal kedaulatan dan maruah negara boleh tergadai.

Susulan daripada itu, beliau mendesak supaya penyiasatan secara menyeluruh sehingga ke akar umbi dilakukan agar mereka yang menjadi dalang sindiket itu dibawa ke muka pengadilan.

“Penyiasatan secara menyeluruh sehingga ke akar umbi mesti lakukan untuk menangkap mereka yang terlibat agar menjadi satu pengajaran yang besar dan tidak akan berlaku lagi selepas ini.

“Kita harap mereka yang telah pun mendapat MyKad melalui sindiket haram ini dapat ditarik balik dan diambil tindakan tegas,” katanya kepada Harakahdaily.

Hari ini, seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang bersama lima lelaki telah dihadapkan ke mahkamah dengan 32 pertuduhan melibatkan sindiket penjualan MyKad.

Ia susulan terbongkar aktiviti penjualan MyKad kepada warga China di Pulau Pinang, baru-baru ini.

Menurut Idris, apabila diberi kewarganegaraan kepada warga asing, mereka berhak untuk mendapat keistimewaan yang ada di negara ini termasuk kuasa mengundi.

Lantaran itu, beliau meminta supaya siasatan segera mesti dilakukan supaya mereka yang terlibat dikenakan hukuman berat. – HARAKAHDAILY 12/9/2019