MP Kuala Nerus dilantik Bendahari Pemuda ICAPP

TAKIRI2

KUALA NERUS: Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dilantik sebagai Bendahari Sayap Pemuda ICAPP (International Conference of Asian Political Parties) untuk sesi 2019-2021 sempena persidangan kali ini yang berlangsung di Baku, Azerbaijan pada 7 September lalu.

Advertisement

Beliau berkata, jawatan itu merupakan satu amanah yang berat dan tidak mampu dipikul seorang diri dan memerlukan bantuan daripada semua pihak.

“Itu adalah amanah yang berat namun ia perlu digalas sebagai satu bakti untuk masyarakat dunia.

“Antara tindakan awal saya setelah dilantik ialah saya akan mewujudkan satu pasukan kecil yang boleh membantu melaksanakan tugas dengan pelbagai idea kerana tugasan yang besar ini tidak mampu digalas oleh saya sendirian.

“Semoga saya dapat melaksanakan amanah ini dengan cara yang paling baik yang dapat diwarisi oleh orang terkemudian yang menggalas amanah itu selanjutnya,” katanya sewaktu dihubungi.

Menurut beliau lagi, tugasan adalah amanah yang perlu ditunaikan bukannya satu pangkat kemuliaan yang dibangga-banggakan.

Turut hadir pada persidangan itu ialah Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Nik Muhammad Nik Zawawi Salleh dan AJK Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Kamal Nazmi Kamaruddin.

ICAPP merupakan forum antarabangsa menghimpunkan parti-parti politik seluruh Asia sama ada yang menjadi kerajaan mahupun pembangkang. Ia diasaskan sejak tahun 1990 yang dipengerusikan oleh Jose de Venecia, speaker parlimen Filipina yang juga merupakan pengasas kepada program itu. – HARAKAHDAILY 12/9/2019