Muafakat pembangkang kerana kepentingan rakyat

KUALA LUMPUR: PAS mahu bekerjasama dengan Umno kerana melihat kepada kepentingan rakyat yang perlu dibantu yakni dengan cara menguatkan barisan pembangkang, sekali gus menghadapi kerajaan.

Advertisement

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, jika pembangkang berpecah, maka kerajaan akan bertindak secara berleluasa mengikut kemahuan mereka dan tidak jujur terhadap manifesto.

Malah jelas beliau, dalam hubungan PAS dan Umno tidak berlaku tunggang menunggang antara kedua parti, sebaliknya ia simbiosis dengan sama-sama memiliki kekuatan yang sangat elok digabungkan.

“Ini prinsip yang PAS bawa. Rakyat perlu didahulukan, Islam sebagai agama Persekutuan dan perlu kita hormati lunas-lunas dalam Perlembagaan. Maka kerana itu kami bergabung,” tegas jurutera muda ini.

Beliau ditemubual dalam slot Kerusi Panas secara langsung di Pertiwi TVmengupas tajuk “Kenapa PAS Terima Umno?”, di sini malam tadi.

Menjawab situasi pemimpin Umno sedang berdepan pelbagai tuduhan, Ir Khairil menegaskan hal tersebut masih dalam proses mahkamah, manakala hal dalaman keluarga Umno tidak wajar PAS masuk campur.

Paling penting jelas beliau, PAS memastikan parti ini sentiasa bersih supaya diterima rakyat dan telah terbukti di Kelantan dan sekarang ini Terengganu, manakala kes pemimpin Umno perlu diserahkan kepada mahkamah menentukannya.

Bahkan dinyatakannya, jika keputusan mahkamah tidak memihak kepada pemimpin-pemimpin berkenaan, beliau penuh yakin pengikut Umno matang untuk memilih pemimpinnya yang baru secara demokratik.

“Asasnya ialah pada sekarang ini, the person is innocent until proven guilty dan itu hal rumah tangga Umno. Bukan hak PAS untuk menganalisis atau menghukum siapakah pemimpin Umno.

“Pada kami ialah, selagi mana Umno di dalam jawatankuasa membincangkan piagam tersebut, bersetuju dengan tatacara piagam, bersetuju dengan hujah dan perkara dalam piagam; cukup bagi kami,” jelasnya.

Tambah beliau, simbiosis dalam kerjasama sebagai pembangkang itu tidak berbangkit soal pihak mana kuat dan tidak kuat, atau diukur sebagai kekuatan satu parti, sebaliknya dibentuk kekuatan pasukan untuk memastikan PRU15 berlaku pertembungan satu lawan satu. – HARAKAHDAILY 12/9/2019