Pemuda cabar kerajaan beri ruang Presiden jelaskan

KUALA LUMPUR: Pihak-pihak yang mendakwa secara tuduhan bahawa Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pernah mengatakan Umno kafir diminta memberi ruang kepada beliau bercakap secara terbuka di depan rakyat.

Advertisement

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin mencabar pihak-pihak tersebut untuk bersikap berani menayangkan semula secara terbuka kepada rakyat ucapan asal selama satu jam setengah yang difitnah itu.

“Terpengaruh dengan fitnah-fitnah yang dibawa oleh musuh-musuh politik PAS? Ucapan sejam setengah itu dipotong-potong dan dikerat-kerat. Dan golongan yang ekstrem membahas atau memperinci ucapan tersebut dengan tidak ada batasan ilmu.

“Tok Guru (Presiden PAS) telah keluarkan buku (jawab tuduhan itu) dan semua SB (Special Branch) dalam Malaysia kaji tulisan beliau. Adakah pernah Tok Guru pernah kafirkan Umno? Sehingga kini beliau tidak pernah dakwa Umno kafir secara legal,” jawabnya.

Beliau malah ‘mengejek’ pihak kerajaan yang umpama tiada modal lagi, lalu memanjangkan fitnah itu untuk menyekat penggabungan atau penyatuan ummah antara PAS dan juga Umno, selain menyerah kepada pihak polis menjelaskannya.

Gesanya, jika kerajaan baru ini segar dan mengakui mengenai kebebasan bersuara, mereka dicabar memberi peluang kepada Presiden PAS untuk menyatakan frasa mengkafirkan yang difitnah itu untuk dijelas kepada rakyat. – HARAKAHDAILY 12/9/2019