Siri FAQ HPU914 (3)

ADA satu persoalan yang sering ditanya, iaitu adakah golongan ataupun pihak yang amat mencemburui Himpunan Penyatuan Ummah ataupun HPU914 ini adalah pihak yang terlibat dengan usaha pecah dan perintah ataupun divide and rule.

Advertisement

Soalan ini menarik sebenarnya. Sebelum kita menjawab persoalan ini, kita lihat dahulu apa makna pecah dan perintah ataupun divide and rule, ataupun disebut juga dengan divide and conquer.

Makna pecah dan perintah ini ialah sesuatu golongan yang pada kelazimannya sukar untuk memperolehi kuasa. Mungkin disebabkan oleh jumlah mereka yang kecil, ataupun kekuatan mereka yang kurang. Mereka berusaha untuk merampas kuasa ataupun mengekalkan kuasa dengan memecahkan golongan yang ramai, lawan mereka yang lebih berpotensi untuk memperolehi dan mengekalkan kuasa tersebut melalui cara-cara yang dapat memecahkan golongan yang ramai ini, dan lawan mereka sehinggalah kumpulan itu menjadi lemah.

Disebut oleh seorang ahli falsafah di zaman Renaissance, iaitulah Machiavelli, dia menyatakan bahawa pendekatan pecah dan perintah ini dapat dibahagikan kepada dua. Yang pertamanya ialah dengan menimbulkan saling tidak percaya mempercayai ataupun keraguan sesama golongan yang ramai ataupun golongan yang berpotensi.

Mewujudkan saling tidak percaya mempercayai di antara satu kelompok dalam golongan tersebut dengan kelompok yang lain. Ini di antara perkara yang dilakukan oleh golongan yang mengusahakan pecah dan perintah sebagaimana yang disebut oleh Machiavelli dalam karyanya di Art of War.

Yang keduanya dengan melakukan diskriminasi iaitu menekan satu golongan dan memberikan kelebihan kepada satu golongan. Maksudnya begini, dalam golongan yang ramai itu, yang berpotensi ada satu kelompok yang diberikan pertolongan, yang diberikan kelebihan. Manakala kelompok yang lain ditekan, ditindas sehingga dua kelompok ini akhirnya berpecah dan bertelingkah di antara satu sama lain.

Ini di antara kaedah yang dilakukan untuk pecah dan perintah. Amalan pecah dan perintah ini bukan suatu perkara yang baru. Sekiranya kita lihat dalam masyarakat umat Islam, di Timur Tengah, yang dahulunya disatukan di bawah pemerintahan Islam Uthmaniyyah, hari ini kita lihat perpecahan itu berlaku dengan begitu marak sekali. Perpecahan dalam kalangan umat Islam yang berlaku di Timur Tengah ini boleh dilihat bermula daripada usaha pecah dan perintah yang dilakukan oleh Perancis dan Britain dalam Sykes Picot Agreement yang kemudian diikuti oleh Russia sehinggalah menyebabkan umat Islam di Timur Tengah dipecah-pecahkan mengikut sempadan-sempadan geografi sehingga menimbulkan konflik sepertimana yang ada pada hari ini.

Dalam masyarakat Melayu di Kepulauan Melayu di Nusantara ini pun sama. Kita menghadapi dasar dan juga amalan pecah dan perintah oleh golongan penjajah, oleh British, oleh Belanda sehinggalah masyarakat Melayu yang merupakan penganut Islam yang paling besar di dunia ini di Kepulauan Nusantara telah dipecahkan kepada kelompok-kelompok mengikut sempadan geografi.

Kita balik kepada persoalan yang ditimbulkan tadi, adakah usaha yang dilakukan sekarang yang mencemburui HPU914 ini adalah sebahagian daripada usaha pecah dan perintah.

Cuba kita lihat perkembangan mutakhir ini. Di hari-hari di mana himpunan ini semakin hampir, ada usaha untuk menimbulkan keraguan di antara Umno dan PAS. Dibangkitkan semula isu-isu yang berkaitan dengan Umno dan PAS yang berlaku tahun 70-an dan tahun 80-an, tahun 90-an. Ditiupkan kembali ceramah-ceramah yang lama.

Ini adalah usaha untuk menimbulkan keraguan di antara PAS dan Umno. Jelas ini adalah merupakan satu usaha pecah dan perintah.

Demikian juga dengan memberikan kelebihan kepada golongan tertentu dan juga menindas golongan tertentu. Kita lihat ia dilakukan oleh parti yang memerintah. Antaranya dengan menekan sesetengah pimpinan-pimpinan Umno dan pada masa yang sama memberikan kelebihan kepada sesetengah yang lain sehingga mereka telah menyeberang daripada Umno masuk PPBM ataupun parti Bersatu dengan tujuan untuk memecahkan kesatuan yang ada dalam Umno dan demikian jugalah apa yang mereka cuba usahakan untuk dilakukan supaya Himpunan 914 ini akan gagal.

Ayuh tuan-tuan, kita berusaha untuk hadir himpunan HPU914 ini. Dan kita ingat akan kata-kata keramat:

Bulat air kerana pembetung,
Dan bulat manusia kerana muafakat.

Saya ulangi,

Bulat air kerana pembetung,
Dan bulat manusia kerana muafakat.

DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat – HARAKAHDAILY 12/9/2019