Tak label kafir, perjelas batas iman dan kufur

nik amar

TANAH MERAH: PAS tidak pernah melabelkan Umno sebagai kafir sejak dahulu lagi, bukan seperti yang didakwa Tun Dr Mahathir Mohamad.

Advertisement

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah sebaliknya berkata, apa yang diperjelaskan sebelum ini hanya mengenai batas-batas iman dan kufur.

“Dr Mahathir sendiri tidak pernah meminta maaf kepada Anwar walaupun pelbagai tuduhan dibuat, namun sekarang kedua-duanya boleh duduk bersama dan bekerjasama.

“Jadi, apa masalah sekiranya PAS dan Umno bekerjasama” katanya selepas mesyuarat exco di Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) petang semalam.

Dr Mahathir kelmarin dilaporkan berkata, PAS perlu menarik balik kenyataan yang  melabelkan Umno sebagai kafir sebelum kedua-dua pihak memeterai piagam bersama.

Oleh Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, Dr Mahathir tidak perlu mendesak PAS memohon maaf pada Umno sebelum kedua-dua parti itu memeterai piagam kerjasama.

Piagam kerjasama di atas nama perpaduan ummah akan ditandatangani PAS dan Umno pada Sabtu ini di ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur. – HARAKAHDAILY 12/9/2019