HPU914: Anak muda cetus kebangkitan, perubahan

KUALA LUMPUR: Pemerintahan PH yang berusia sekitar 500 hari kini menjadi mainan dan senda gurau anak muda di mana sebelum ini meluap-luap perasaan mereka terhadap segala janji kerana mahukan perubahan.

Advertisement

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, anak muda dalam kalangan B40 antara paling terasa dengan segala janji apatah lagi Belanjawan di bawah PH banyak memansuhkan subsidi dan bantuan.

Jelasnya, ianya didorong dua faktor iaitu ketidaktenteraman hidup dan ekonomi di mana mereka mulai merasai pelbagai perkara yang tidak menyeronokkan suasana sedang berlaku dalam negara mutakhir ini.

“Isu black flag, isu bendera terbalik yang barangkali ada manipulasi dan sebagainya. Tapi asasnya ialah gangguan terhadap Kontrak Sosial yang sebenarnya telahpun dipersetujui dari zaman dahulu oleh pemimpin-pemimpin sebelum kita.

“Termasuk dari pihak Raja ataupun Sultan yang setuju untuk kita agree to disagree walaupun kami ini penduduk Peribumi iaitu orang Melayu, tetapi kita memberikan sedikit kelebihan kepada orang bukan Melayu.

“Kita (terima) untuk mereka sama-sama duduk dalam negara yang amat bertuah ini dan diberi kewarganegaraan dalam pendekatan Jus Soli,” ujarnya dalam Wacana HPU914 “Anak Muda Pencetus Kebangkitan Ummah” bersama Media Umno Online, di sini semalam.

Tegasnya, keamanan dipandu dan dipupuk dengan adanya Perlembagaan Negara, oleh itu diamarankan beliau agar jangan dikucar atau diganggu teras tersebut sama sekali.

Bidas beliau, setiap tindakan mempertahankan Melayu tidak boleh dkatakan rasis kerana ianya perkara yang dibawa dalam Perlembagaan Negara, sebaliknya kini semua itu sedang digugat.

Jelasnya, hal tersebut telah menyebabkan ketidaktenteraman yang semakin terhakis hingga anak muda merasa tidak lagi aman kerana pemicu pertempuran atau perbalahan antara bangsa boleh terjadi.

Jurutera muda ini membangkitkan antara nasib dialami umat ini khususnya anak muda apabila ikon disanjung keperwiraannya iaitu Pegawai Bomba, Muhamad Adib Mohd Kasim kembali ke rahmatullah.

Katanya, itu antara tragedi yang menunjukkan negara di bawah PH gagal diurus dengan baik, selain keadaan ekonomi terutama harga barang yang dijanjikan tidak pernah turun serta meruncingnya disebabkan politik.

Tempelaknya juga, dengan begitu banyak sumbangan GLC yang ada, hutang kerajaan semakin bertambah dan matawang jatuh dan seumpamanya menyebabkan petunjuk ini menuntut anak muda mencari keselesaan.

Beliau juga secara sinis menyelar banyak keputusan Kerajaan PH yang berlaku ‘pusingan-U’ di mana semua kegagalan tersebut menjentik anak muda untuk melangsungkan lagi perubahan pemerintah. – HARAKAHDAILY 13/9/2019