HPU914: Diungkit kisah lama kerana tergugat

BILA PAS ambil alih Kerajaan Terengganu pada Mei 2018, kita tak ungkit apa yang kerajaan dulu tinggal. Kita pandang ke hadapan dan terus bekerja. Kalau nak ungkit, ia tak akan jadi kerja.

Advertisement

Begitu juga bila kita berbicara soal perpaduan ummah. Terlalu banyak kisah sedih dan menghiris hati yang telah dilalui sejak berpuluh tahun lalu kalau nak diungkit. Tapi ia tak akan membawa kita ke mana. Bawa kereta pandanglah cermin hadapan. Sekali sekala bolehlah tengok cermin sisi dan cermin pandang belakang. InsyaAllah kita selamat sampai ke destinasi.

PH duduk nyanyi lagu Amanat Hadi sehari dua ini. Kita tahu mereka trauma dengan penyatuan ummah yang bakal berlaku esok. Lalu ungkit kisah lama yang diputar belit. Kalau kita nak buka balik ungkapan sumpah seranah dan maki hamun yang mereka saling memaki antara mereka sebelum ini, telinga kita geli nak dengar. Apa yang tak keluar dari mulut. Sekarang siap cium tangan sampai ke siku!

Saya menyanjung tinggi sikap berjiwa besar pemimpin dan ahli kedua-dua parti terbesar ummat Melayu Islam di Malaysia. Walau kita berbeda pandangan, cara berfikir, membuat keputusan malah mungkin berbeza prinsip perjuangan tapi tetap ada satu titik yang boleh mempertemukan dan menyatukan kita. Dalam bab kepentingan ummah dan agama, tidak ada ruang lagi untuk ditangguhkan penyatuan ini.

Kita bawa agenda kita. Kalau PH rasa tergugat, silakan bawa agenda penyatuan versi PH. Sebagaimana kita kempen supaya utamakan produk muslim tanpa memboikot produk orang lain, begitulah juga kita bawa agenda penyatuan ummah tanpa kita usik pun kesatuan dalam PH. Soal mereka nak berbalah dan bertelingkah sesama sendiri, itu urusan mereka dan jangan salahkan kita.

Kita bawa mesej bagaimana penyatuan ini sudah menjadi satu kewajipan. Satu mesej damai yang tidak menggugat sesiapa. Tapi ada satu pihak yang apabila berada di puncak kuasa, mereka gunakan kuasa itu untuk menggugat serta menghakis hak dan melanggar sempadan orang lain, maka bila orang lain bersatu, mereka rasa tergugat.

PH perlu melihat ke dalam untuk menyelesaikan masalah mereka sendiri dan jangan palitkan busuk tahi kita kepada pihak lain!

DR AZMAN IBRAHIM
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat- HARAKAHDAILY 13/9/2019