HPU914: Kesatuan adalah kekuatan yang digeruni

KUALA LUMPUR: Persaudaraan umat Islam merupakan teras pembinaan negara Madinah yang terpenting dilaksanakan Rasulullah S.A.W, demikian kata Timbalan Presiden PAS, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man.

Advertisement

Beliau menghurai perkara tersebut ketika menyampaikan khutbah Jumaat sempena Himpunan Penyatuan Ummah di Surau Ar-Rahman, Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini sebentar tadi.

Jelasnya, asas utama persaudaraan itu adalah penyatuan di atas dasar akidah, kerana Allah-lah yang mempertautkan hati sesama manusia apabila adanya keikhlasan dalam iman dan hubungan.

Di mana dengan asas kukuh pada akidah ujarnya, menatijahkan kekuatan juga kepada politik, ekonomi dan ketenteraan yang ianya sangat ditakuti dan digeruni oleh musuh Islam.

Pun begitu kemuka Ahli Parlimen Kubang Kerian ini, Yahudi yang memusuhi Islam telah bertindak menghasut ‘Aus dan Khazraj dengan menimbulkan sensasi dan mengungkit sejarah lampau.

Kaum Yahudi di Madinah katanya, telah mengapi-apikan sentimen ke arah untuk menimbulkan perkelahian antara kedua puak yang telah bersatu itu demi memecahkan semula kekuatan.

Hinggalah jelas Dato’ Tuan Ibrahim, Rasulullah datang kepada kaum ‘Aus dan Khazraj mengingatkan jahiliyah masa lampau yang sedang terpengaruh ke atas mereka pada saat itu.

“Ingat, jangan ada dalam kalangan kita membawa suara musuh, jangan ada yang terpengaruh dengan bisikan syaitan. Membina kesatuan ini mengambil masa puluhan tahun, tetapi untuk meruntuhkannya cukup satu hari sahaja,” ujarnya mengajak para jamaah mengambil pengajaran kisah itu.

Kemuka beliau lagi, untuk mengukuhkan penyatuan, maka perlu memperbanyakkan persamaan antaranya dengan selalu berbincang, tetapi jika mahu berpecah, maka bawalah perbezaan sebanyaknya.

Tegasnya, masalah umat mesti disatukan dengan persamaan, sebaliknya jangan membesarkan perbezaan iaitulah selayaknya sebagai umat Islam disatukan dengan persamaan akidah.

“Jangan biar musuh ambil kesempatan. Sebaliknya binalah kesatuan kerana ianya kekuatan yang sangat ditakuti musuh. Malah, kesatuan umat Islam bukan untuk mengongkong kepuakan, tetapi kita membawa kedamaian dan kemakmuran kepada masyarakat majmuk negara kita ada Kristian, ada Hindu, ada Buddha dan bermacam bangsa lagi,” ujarnya.

Beliau mengemukakan beberapa Sahabat R.A antaranya Shuib Ar-Rumi, Huzaifah al-Yamani, Bilal al-Habsyi dan beberapa lagi yang membuktikan umat Islam dibina Rasulullah datang dari pelbagai bangsa.

Beliau juga mengemukakan nasihat agar berpegang teguh dengan tali Allah, menjaga hubungan dengan Allah dan menjadi pemimpin yang memastikan rakyat melaksana perintah Allah.

Kepada para Pemuda pula serunya, agar membina masa depan dengan Islam dan memastikan diri menjauhi maksiat yang menyebabkan dosa dan kelemahan, selain selalu memohon ampun dan mencari keredhaan Allah. 

Turut sama pada solat Jumaat itu adalah Presiden Umno, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi dan mantan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak. – HARAKAHDAILY 13/9/2019