HPU914: PAS bersama Umno bukan ‘misi mustahil’

KUALA LUMPUR: Perkataan ‘Bersatulah’ dalam lirik lagu PAS dan Umno dianggap antara pencetus komitmen kedua-dua parti Melayu terbesar negara ini untuk bergandingan bersama.

Advertisement

Berpandangan sedemikian, Setiausaha Politik Presiden PAS, Syahir Sulaiman berkata, hari ini terbukti kedua-dua parti ini sedang serius duduk semeja dalam Himpunan Penyatuan Ummah (HPU914) di PWTC, di sini.

“Tidak ada yang mustahil dalam politik siapa sangka di PWTC ini, di bangunan Umno ini boleh terkibarnya bendera PAS. Siapa sangka!

“Saya yakin dan pasti bahawa pada hari esok pada hari kita menyaksikan piagam kerjasama ini (ditandatangani) akan berkumandangnya buat kali pertama lagu rasmi PAS dalam bangunan Umno,” ucapnya.

Ahli panel Wacana Intelektual dalam HPU914 ini juga menekankan mempersaudarakan sesama umat Islam antara lima teras pembentukan negara yang dibangunkan oleh Rasulullah S.A.W.

Ujarnya lagi, penyatuan orang Melayu dan Islam bukan sekadar dari aspek politik semata-mata, tetapi turut melangkah kepada kebangkitan ekonomi umat Islam.

Katanya, ini terbukti dalam kempen Buy Muslim First (BMF) yang mendapat kritikan dan sindiran hebat daripada anggota kabinet Kerajaan PH.

Beliau juga mengajak hadirin menghayati semula bait-bait doa dibacakan oleh Mufti Negeri Sembilan, Almarhum Syeikh Ahmad Muhammad Said sewaktu Almarhum Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan.

“Doa tersebut memohon agar Malaysia ini dipimpin oleh pemimpin yang adil dan menjaga agama ini (Islam). Saya kira teras kepada pembinaan sebuah negara.

“Keduanya didoakan juga supaya bangsa Melayu dan disebut spesifik dalam doa tersebut supaya bangsa Melayu menjadi bangsa yang maju, doa ketiga supaya dijaga kesejahteraan hidup dan juga keharmonian kaum dalam negara ini,” katanya.

Selain beliau ahli panel lain terdiri dari Pengerusi NGO Gerakan Pembela Ummah, Aminuddin Yahya dan Exco Pergerakan Pemuda Umno, Afif Farhi Othman serta Penganalisis Politik, Prof Dr Azmi Hassan dan mewakili golongan artis, Bob Lokman. – HARAKAHDAILY 13/9/2019

IMG 20190913 WA0046

20190913 195827