HPU914: Waspadai agenda padam cahaya agama

IMG 20190913 WA0013

KUALA LUMPUR: Kaum ibu dan wanita di negara ini diseru merenung kuat mesej al-Quran di mana mengulang peringatan mengenai perbuatan pihak-pihak yang mahu ‘memadamkan cahaya agama’ Allah.

Advertisement

Ketua Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, perkara itu bukan hanya berlaku di zaman Rasulullah S.A.W, tetapi juga sedang disaksikan umat zaman ini termasuk di negara ini.

Beliau mengupas isu tersebut dalam Wacana Wanita Perpaduan Ummah sempena HPU914 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini sebentar tadi.

Bidasnya, pihak tersebut mesti diwaspadai di mana setelah gagal menunaikan janji Manifesto 100 hari, tiba-tiba mahu melaksanakan ICERD membawa kepada usaha menyamaratakan banyak perkara termasuk agama.

“Ini antara dikatakan ‘agenda sulit’. Kita bersama bantah masa itu dengan tema putih ini juga kan? Sepatutnya mereka laksanakan janji-janji manismu dulu kan? Tiba-tiba lepas tu keluar pula Statut Rom. Mereka mahu bawa salah tadbir ketua negara ke undang-undang antarabangsa.

“Nampak? Kenapa? Kita tak ada kedaulatan negara kita sendiri ke? Kenapa kita mesti tunduk? Bukankah sebagai orang Islam kita mesti merasa izzah sebagai Muslim? Islam ini tinggi, tak ada lebih tinggi dari Islam. Jadi kenapa tunduk (pada kuasa asing)?” bidasnya.

Beliau turut mengemukakan isu-isu yang berbangkit timbul di zaman pemerintahan PH ini termasuk promosi untuk membuka hijab dan sekatan ke atas pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik yang dibesarkan.

Oleh itu serunya, kaum wanita Islam mesti mewaspadai usaha pihak-pihak yang cuba memadamkan cahaya agama ini di mana kini semakin berani menghina.

Majlis bergema dengan laungan “Penyatuan Ummah” disusuli seruan takbir ketika pengacara majlis meminta para hadirin memulakan majlis dengan penuh semangat.

Acara dimulakan dengan bacaan Asmaul Husna, Negaraku, dan lagu rasmi kedua-dua parti terbesar itu.

Terdahulu peserta mengikuti pengisian dan persembahan antaranya Munajat AKIFI, slot Tadabbur surah as-Saff, pentas anak muda dan banyak lagi. – HARAKAHDAILY 13/9/2019

IMG 20190913 WA0014

IMG 20190913 WA0012