Janji p’raya Netanyahu ibarat bom jangka

JANJI Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menjelang pilihan raya semula pada 17 September depan ibarat bom jangka kepada pertikaian yang berlarutan di Tebing Barat ketika ini.

Advertisement

Wan Hassan Mohd RamliKenyataan tekad beliau untuk memperluaskan kawasan pendudukan haram ke Tebing Barat termasuklah di wilayah Lembah Jordan dan utara Laut Mati telah mendapat kutukan dan kritikan masyarakat antarabangsa.

Ia bukan sahaja mencabuli rundingan damai yang semakin malap di wilayah berkenaan, bahkan turut dilihat membelakangi undang-undang antarabangsa serta beberapa resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang masih tinggal tanda tanya mengenai sejauh mana keberkesanannya.

Tidak cukup dengan pendudukan haram Israel di wilayah berdaulat Palestin sejak 1948, tahun ia mula “diiktiraf” di PBB, ironinya hari ini Netanyahu masih boleh berjanji untuk memperluaskan lagi pendudukan haram tersebut tanpa rasa bersalah demi memenangi hati kelompok nasionalis di negara tersebut menjelang pilihan raya Israel.

Justeru, saya berpandangan kenyataan mengutuk dari negara-negara OIC dan masyarakat antarabangsa perlu disusuli dengan tindakan politik ekonomi di peringkat antarabangsa. Hal ini demikian kerana, kedegilan dan kezaliman yang telah dilakukan Zionis Israel terhadap wilayah Palestin tidak lagi boleh dikekang dengan kenyataan semata-mata.

Tambahan pula, pilihan raya yang bakal berlangsung minggu hadapan tidak langsung mencerminkan langkah positif ke arah penyelesaian isu Palestin yang dihadapi sejak sekian lama.

‘Islam Memimpin Perpaduan’

YB WAN HASSAN MOHD RAMLI
Ahli Parlimen Dungun
13 September 2019 | 13 Muharram 1441 – HARAKAHDAILY 13/9/2019