Menteri Perumahan M’sia, bukan HK atau China

PUSAT Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) menggesa Menteri Perumahan supaya mempertimbangkan semula cadangan untuk melaksanakan kempen untuk menjual rumah kepada rakyat Hong Kong dan China.

Advertisement

Beliau berkata selepas menghadiri perasmian Persidangan Bandar Pintar Asia Ke-5 pada 11 September lepas di Putrajaya bahawa satu Kempen Pemilikan Rumah (Housing Ownership Campaign) akan diadakan dengan sasaran utama pembeli-pembeli dari negara tersebut.

REACH berpandangan masih ramai rakyat Malaysia yang belum memiliki rumah sendiri dan menghadapi masalah untuk membelinya maka mereka ini yang perlu didahulukan dan dibantu bukan rakyat negara luar.

Bantahan besar-besaran terhadap campur tangan Beijing di Hong Kong telah membuat wilayah itu berada di dalam keadaan tidak stabil dan akan menyebabkan ramai penduduknya berhasrat untuk berhijrah ke negara luar. Menteri Perumahan tidak sepatutnya menjadikan negara kita sebagai salah satu destinasi utama mereka. Biarkan Hong Kong dan China menyelesaikan masalah mereka sendiri.

Oleh itu, REACH mengingatkan Menteri Perumahan bahawa beliau adalah Menteri Perumahan Malaysia dan bukan Menteri Perumahan Hong Kong atau China. Selesaikan masalah rakyat Malaysia dan bukan rakyat negara lain.

Kami turut berpandangan kempen ini akan menaikkan harga rumah di Malaysia dan akan menyisihkan pembeli tempatan. Pembeli tempatan akan terpaksa bersaing dengan pembeli dari Hong Kong dan Negara China, persaingan yang wujud boleh menyebabkan para pemaju meningkatkan harga rumah. Memandangkan pembeli dari negara luar memiliki keupayaan kewangan yang lebih maka akhirnya pembeli tempatan akan ketinggalan. Pembelian rumah-rumah tersebut akan dimonopoli oleh pembeli luar.

Walaupun rumah-rumah yang terlibat merupakan rumah-rumah bernilai tinggi namun kebanjiran rakyat Hong Kong dan China ke negara ini akan merubah komposisi masyarakat di bandar-bandar besar. Budaya dan cara hidup warga asing yang berbeza boleh menggugat stabiliti dan keharmonian masyarakat. Hari ini kita menghadapi masalah dengan warga asing yang sedia ada maka tidak perlu ditambah kumpulan yang baru.

Oleh itu, REACH menggesa Kementerian Perumahan memperkasa dan menambah baik program-program perumahan rakyat yang sedia ada. Berilah tumpuan kepada rakyat tempatan.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 13/9/2019