HPU914: Hayat Kerajaan PH tidak akan lama

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan Kerajaan PH hari ini ibarat pesakit kanser tahap empat yang dijangka hayatnya tidak akan lama.

Advertisement

Katanya, ia kerana kerajaan yang menang dengan fitnah tidak mungkin bertahan lama dan tidak mampu menghadapi kebangkitan rakyat untuk membetulkan keadaan yang telah berlaku.

“Kebenaran walaupun mengambil masa, tetapi apabila bangkit akan kekal dengan kebenaran. Manakala kebatilan mungkin dapat menarik perhatian, tetapi yakinlah tidak mampu bertahan kerana sifat batil bercanggah dengan fitrah yang ada kepada manusia,” ujarnya.

Beliau berucap dalam ceramah Himpunan Penyatuan Ummah bersama Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Mohamad Hasan dan Naib-Naib Presiden PAS dan Umjo di PWTC, malam tadi.

Menurutnya, walaupun ada yang mengatakan kerjasama PAS dan Umno tidak akan tahan lama, namun saf kepimpinan kedua parti itu bertekad akan saling hormat-menghormati antara satu sama lain sekiranya timbul permasalahan.

Dalam masa yang sama dinyatakannya, kedua parti juga bertekad tidak akan ada usaha untuk memecahkan kerjasama tersebut.

Tuan Ibrahim dalam ucapannya turut menyentuh isu pembahagian kerusi bagi menghadapi pilihan raya di mana tidak akan menjadi masalah bagi kedua parti itu dan akan duduk bersama dalam soal berkenaan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, kerjasama PAS dan Umno dalam penyatuan ummah itu akan memberi jaminan tidak akan sesekali mengenepikan hak masyarakat bukan Islam.

“Kita menerima hakikat Malaysia negara majmuk yang setiap kaum ada hak mereka. Tetapi kita tidak boleh terima kaedah DAP yang menjadi ancaman.

“Dan kita tidak memusuhi bangsa Cina, India, Iban dan sebagainya kerana bangsa bukan pilihan atau ketentuan kita, ia adalah ketentuan Allah S.W.T,” jelasnya.

Tegasnya, muafakat politik kedua parti tersebut akan ditegakkan dengan memelihara kerukunan dan kedamaian negara.

Malahan akuinya, menerusi muafakat itu berjanji akan menjaga kedaulatan orang Melayu Islam, ekonomi negara, pengurusan, perpaduan kaum dan perundangan akan diletak pada tempat yang betul dan terjamin.

Menurutnya, penyatuan PAS dan Umno ini akan menjadi model kepada umat Islam di dunia ini supaya bersatu, di saat banyak negara Islam lain sedang dipisah oleh musuh-musuh Islam. – HARAKAHDAILY 14/9/2019