Khianat menjual negara

PEMUDA PAS Pulau Pinang merasa kesal dengan tindakan tidak beramanah sebilangan kecil pegawai di Jabatan Pendaftaran Negara Cawangan Pulau Pinang yang mendalangi sindiket penjualan dokumen pengenalan diri dan sijil kelahiran kepada warga asing China baru-baru ini telah meletakkan negara dalam risiko.

Advertisement

Perbuatan ini mengundang kebimbangan dan kemarahan rakyat kerana kesanggupan mereka bersekongkol dengan pihak yang berkepentingan membenarkan kegiatan penyeludupan migran menjadi “halal” dan jelas mengkhianati serta mensabotaj kedaulatan negara.

Pemuda PAS Negeri tegas supaya pihak berkuasa turut bertindak ke atas individu terbabit yang menjadi perantara kepada kemasukan pendatang warga asing pastinya didalangi oleh mereka yang berpengaruh. Pemuda turut tidak berkompromi dalam memberi ruang selesa kepada warga asing yang masih bebas dan mempunyai kad pengenalan sah secara salah.

Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sewaktu era pemerintahannya turut menyatakan kegusaran dengan kehilangan 50,000 rakyat China yang tidak meninggalkan negara ini walaupun telah tamat tempoh visa. Keraguan kini hampir menjadi nyata apabila Menteri Perumahan, Zuraida Kamarudin telah mencadangkan menjual rumah-rumah mewah bernilai RM100 billion kepada pembeli dari China dan Hong Kong.

Pemuda PAS Negeri percaya penipuan yang membabitkan penjualan MyKad di Pulau Pinang merupakan kes terpencil yang telah terbongkar kepada umum. Pemuda PAS Negeri mengucapkan tahniah dan berterima kasih kepada PDRM dan pihak pendakwa berjaya membawa ‘pengkhianat’ ini kemuka pengadilan. Kementerian Dalam Negeri serta pihak berkuasa Polis dan SPRM perlu segera bertindak menjalankan siasatan menyeluruh ke Jabatan-jabatan Kerajaan sama ada di Negeri mahupun pusat.

Ketelusan dan siasatan harus dibuat secara konsisten dan tidak terhad kepada kes penjualan MyKad sahaja kerana ia turut melibatkan jenayah pemerdagangan manusia serta penglibatan kelompok-kelompok samseng dan pengganas jika tidak ditangani secara menyeluruh.

“Islam Memimpin Perpaduan”

USTAZ AFNAN HAMIMI DATO’ TAIB AZAMUDDEN
Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 14/9/2019