‘Ladies Night’ hiburan patuh syarak DMPN S’wak

BINTULU: Lajnah Kebudayaan, Kesenian dan Rekreasi Muslimat PAS Negeri Sarawak telah menganjurkan program Ladies Night bertempat di Hotel Kemena, di sini malam tadi.

Advertisement

Bertemakan “Muslimat Anggun Pintar” ia bertujuan menghimpun dan mengeratkan hubungan antara anggota Muslimat dari PAS Kawasan-kawasan seluruh negeri ini terutama mengeratkan kerjasama Muslimat pelbagai peringkat umur.

Malah, program ini juga merupakan satu bentuk hiburan dalam kalangan Muslimat, selain mengimbangi kepelbagaian wadah dakwah Muslimat serta meraikan kepelbagaian minat.

Program ini sekali gus menjadi acara pembukaan sambutan Hari Malaysia yang turut akan diraikan oleh pimpinan PAS Pusat diketuai Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Antara yang hadir ke majlis ini adalah Exco Muslimat PAS Malaysia, Dr Halimah Ali dan Farah Foo Abdullah serta Ketua Muslimat PAS Sarawak, Ustazah Juliani Adin.

Kemeriahan Ladies Night diwarnai dengan sepuluh persembahan oleh Muslimat dari lapan kawasan antaranya nasyid, boria, deklamasi sajak, malah juga seni silat.

Menurut Dr Halimah, program ini bukan sahaja mengeratkan ukhuwah ahli-ahli Muslimat, malah menonjolkan bakat terpendam dalam bentuk program yang patuh syariat dan meraikan kepelbagaian arena dakwah. – HARAKAHDAILY 15/9/2019   

IMG 20190915 WA0016

IMG 20190915 WA0015