Penyalahgunaan kuasa oleh YB Adun Repah

HAMPIR 2 tahun pemerintahan kerajaan PH di Negeri Sembilan, pelbagai penyalahgunaan kuasa kita dapat lihat antaranya baru baru ini seorang Ahli Yang Berhormat Kawasan Repah menulis surat sokongan untuk rawatan 3 orang yang tidak jelas kerakyatan.

Advertisement

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai SOP yang jelas terhadap pesakit yang tidak jelas kerakyatan mereka. Kalau bukan warganegara, pesakit haruslah menunjukkan pasport, jika tiada sekurang-kurangnya mempunyai dokumen pengenalan diri seperti nama dan tarikh lahir untuk direkodkan dan untuk memudahkan proses diagnostik dan rawatan susulan. Mereka yang tidak punyai kad pengenalan malaysia ini hanya dikenakan RM40 di klinik kesihatan. Dan setahu saya, fasiliti kesihatan kerajaan tidak pernah menafikan hak untuk mendapat rawatan kepada semua manusia. Tidak perlu sehingga menulis surat khusus.

Negara sedang gusar dengan masalah pemberian Kad Pengenalan yang tidak sah dan secara haram, PAS sangat khuatir ia juga berlaku di Negeri Sembilan.

Berbalik kepada surat sokongan seorang YB kerajaan negeri sembilan kepada pesakit ini, hanya kerana RM40, YB telah melanggar prosedur dan membuatkan keadaan sedikit keruh di jabatan kerajaan.

Nasihat kami PAS Negeri Sembilan agar Dato’ MB Negeri Sembilan mengadakan kursus yang khusus untuk membantu YB-YB kerajaan negeri tahu apa yang boleh dan apa yang tidak (do and don’t) selaku seorang wakil rakyat. RM40 ini, PAS boleh bantu bayar kalau YB ada masalah kewangan dan insya-Allah kami akan melakukan mengikut prosedur sepatutnya.

BADZLI BAKAR
Ketua Penerangan
merangkap
Ketua Lajnah Kesihatan Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan. – HARAKAHDAILY 15/9/2019