Penyatuan Ummah: Insomnia untuk PH

SAYA hadir di PWTC semalam. Saya memahami dan menyedari kenapa saya hadir. Saya juga merasakan perkara yang sama juga berada di nurani ribuan mereka yang hadir semalam. Malah jutaan yang tidak dapat hadir juga sebenarnya berkongsi rasa yang sama. Ikhlas, jujur dan putih bersih.

Advertisement

Allah menghadirkan tautan kasih sayang ini selepas hampir 60 tahun berkelahi. Kecamuk itu terhenti bilamana hak bersama dijarah tanpa segan dan silu.

PAS dituduh sebagai jalang politik kerana sering bertukar regu perjuangan. PAS juga diingatkan bahawa jangan ditipu kedua kali di lubang yang sama.

PAS sebenarnya konsisten. PAS dua kali ditinggalkan DAP bila mereka melangkau batasan yang PAS gariskan. PAS tidak akan sesekali membiarkan garis perjuangannya dicabuli. Namun DAP beruntung kerana mendapat kawannya di kalangan ‘bekasan’ PAS. Bekasan inilah kini yang sentiasa mencari salah PAS.

PAS tega ditipu. Malah PAS berhati besar memaafkan. Ternyata pihak yang menipu tidak juga senang duduk malah mengacau setiap kali hendak tidur. Namun, bila rakyat yang di tipu, PAS tidak akan berdiam diri.

Janji muluk yang diharapkan hanyalah pemanis bicara sedangkan kenyataannya jauh menyimpang. Mereka tidak jujur dalam menjayakan negara ini. Malah mereka sedang berusaha merobek Islam dan Melayu.

Jangan menoleh lagi. Kita akan bersama dalam gagasan ini. Gagasan yang persamaannya lebih mudah untuk kita realisasikan. Agama dan bangsa yang sama. Kita akan membajainya dengan penuh jujur dan ikhlas agar ia membesar dengan jitu.

Ayuh sahabat semua demi Islam dan Malaysia yang tercinta.

ABDUL LATIFF ABDUL RAHMAN
Ahli Parlimen Kuala Krai
15 Muharram 1441
15 September 2019 – HARAKAHDAILY 15/9/2019