Kenapa PH cemas penyatuan PAS-Umno?

KEADAAN negara pada hari ini lebih bahaya berbanding keadaan ketika Tanah Melayu mula-mula dijajah oleh British yang berhasrat menakluk negeri-negeri di Tanah Melayu untuk mengaut hasil bumi di negara ini.

Advertisement

Ketika itu, orang Melayu yang berkumpul dan berhimpun merancang strategi untuk menentang British tidak pula dituduh oleh British bahawa orang Melayu bangsa rasis.

Kerana British mengakui bahawa itu adalah hak orang Melayu untuk mempertahankan tanah air ini dari imperialis seperti mereka.

Demi mencapai kemerdekaan, hak itu telah dijamin oleh British dalam Perlembagaan Persekutuan yang sekarang ini sedang cuba “dikuis-kuis” oleh pemimpin kaum minoriti dari PH dengan bantuan pemimpin-pemimpin Melayu PH.

Ia juga menjadi cukup berbeza, selepas orang Melayu sanggup berkongsi hak milik tanah mereka dengan sejuta kerakyatan kepada kaum lain pada satu masa dulu yang kini tidak langsung dihargai.

Hari ini, orang Melayu dan agama Islam diherdik, dihina dan dicemuh sebagai rasis apabila berkumpul beramai-ramai seperti yang berlaku baru-baru ini dalam Himpunan Penyatuan Ummah (HPU914) pada Sabtu lalu.

Bertubi-tubi serangan dan persepi jahat cuba ditanam oleh pemimpin DAP kepada rakyat supaya membenci penyatuan perpaduan orang Melayu dan Islam yang melibatkan dua parti terbesar PAS dan Umno.

Dianggar puluhan ribu memenuhi ruang segenap Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) melestarikan sokongan orang Melayu terhadap himpunan anjuran PAS dan Umno.

Mereka yang berseteru selama lebih 60 tahun akhirnya bersama sepentas dan menjadi saudara dengan memecahkan keegoan tanpa menggadai prinsip Islam yang diperjuangkan selama ini demi menyelamatkan hak orang Islam khususnya Melayu.

Mengapa terbitnya sokongan sebegini ramai?

Penyertaan puluhan ribu orang Melayu dan orang Islam pada HPU914 menunjukkan orang Melayu berada dalam keadaan resah dan cemas.

Tekanan demi tekanan terhadap bangsa Melayu dan agama Islam terpaksa dihadapi apabila pemimpin bangsa minoriti khususnya DAP mula menunjukkan taring sebenar mereka.

Orang Melayu seolah hilang hak untuk bercakap tentang keresahan mereka, kerana seolah “terlucut” hak bersuara selepas nenek moyang mereka sudi berkongsi hak tanah ini dengan kaum lain.

Kaum majoriti negara ini, hilang kebergantungan kepercayaan kepada pemimpin-pemimpin Melayu dalam kerajaan hari ini yang boleh menyuarakan keselamatan dan mempertahankan hak mereka dan kedudukan agama Islam di negara ini.

Ancaman demi ancaman terhadap hak keistimewaan orang Melayu, kedudukan agama Islam dan Raja-raja Melayu meletakkan orang Melayu sebenarnya berada dalam keadaan kebimbangan.

Jika orang Melayu dan mereka yang beragama Islam berhimpun, lalu tidak dibenar bercakap mengenai keresahan yang sedang membelenggu mereka yang melibatkan masa depan generasi mereka maka eloklah mereka dilucutkan sahaja hak kerakyatan.

Asal berhimpun sahaja dianggap rasis, asal bercakap tentang hak dianggap rasis. Inilah tuduhan yang berlegar-legar di ruangan media sosial yang juga dianggap PH mengganggu kestabilan negara jika penyatuan ini berkesan.

Usaha PAS dan Umno menjernihkan hubungan sesama orang Melayu dan orang Islam menjadi kerisauan utama pemimpin-pemimpin kaum minoriti di negara ini.

Suasana cemas yang ditanggung oleh majoriti orang Melayu dan penganut agama Islam sejak setahun lalu mula berpatah balik kepada PH.

Saban hari saban saat ada sahaja komentar negatif yang terbit dari pemimpin-pemimpin PH mengenai HPU914.

Tidak kurang juga peranan portal pro PH di media-media sosial yang tidak henti-henti cuba melumpuhkan usaha jalinan kerjasama PAS dan Umno yang sedang rancak berjalan.

PH ibarat takut kepada bayang-bayang sendiri, mereka sendiri meramalkan perpaduan antara PAS dan Umno sekadar retorik semata-mata.

Ini mempamerkan PH dilihat seolah tidak yakin dengan perjuangan yang dibawa oleh PH, seolah-olah PH sendiri membenarkan retorik “kerajaan sepenggal” itu hampir menjadi kenyataan.

PH bertambah resah apabila orang Melayu dan orang Islam yang datangnya daripada pelbagai ideologi politik kini dilihat bersatu dalam kempen Buy Muslim First (BMF).

Kempen BMF ini perlahan-lahan sedang menjernihkan hubungan sesama orang Melayu dan orang Islam sekali gus memupuk semula ikatan persaudaraan yang selama ini saling bermusuh kerana perbezaan politik.

Mereka boleh bersatu dan pasti akan bersatu. Inilah yang sedang ditakuti oleh rata-rata pemimpin PH. Perpaduan orang Melayu berkuasa menggulingkan kerajaan PH yang bongkak, berjalan mendabik dada.

Jika PH rasa betul dengan perjuangan yang mereka bawa, tidak wajar kiranya untuk timbul bibit cemas dan resah terhadap kerjasama PAS dan Umno ini.

Terpaterinya Piagam Mufakat Nasional dalam HPU914 pada Sabtu lalu adalah cukup tepat, ia sekurang-kurangnya membenarkan orang Melayu meluah rasa lega kerana dua parti ini berperanan besar menjulang semula apa yang telah dimulakan dan dipertahankan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu. – HARAKAHDAILY 17/9/2019