Membuka lembaran baru roh penyatuan ummah

BERMULA tarikh 10 Mei 2018, roh penyatuan ummah telah dibuka episodnya di Terengganu.

Advertisement

Pagi 10 Mei 2018 saya telah isytiharkan kepada masyarakat Jabi, mari kita buka lembaran baru untuk penduduk Jabi. Semua orang Jabi adalah rakyat kita. Pengerusi Masjid, Tok Imam, Tok Bilal dan Tok Siak sila pergi bertugas macam biasa. Tiada siapa yang dipecat.

Kemudahan awam yang ada dalam kampung seperti dewan orang ramai, balai raya, padang bola, gelanggang futsal, sepak takraw dan sebagainya silakan guna bersama-sama.

Tidak ada seorang pun penerima bantuan kebajikan yang ditamatkan pemberian bantuan kerana beza warna politik.

Sakit demam, kelahiran, mati dan bencana semua kita santuni tanpa mengira warna. Berulang kali saya sebut kepada Pengerusi-pengerusi MPKK Jabi, antara tanda kegagalan kita dalam melaksanakan tugas ialah bila kita tanya “demo ngundi gapo baru ni?” bila ada rakyat yang datang untuk berurusan.

Masyarakat sudah boleh pergi mari. Antara faktornya ialah penerimaan orang-orang lama yang berjiwa besar untuk membuka lembaran baru kehidupan bermasyarakat terutamanya orang PAS yang sejak sekian lama menjadi mangsa diskriminasi dan dizalimi. Pahit? Ya! Memang pahit. Tapi sebagaimana air sungai yang mengalir dari hulu ke hilir, kita juga tidak boleh berjalan secara mengundur.

Ayah saya berulang kali menasihatkan supaya berlaku adil dalam membuat keputusan sementara kita diberikan sedikit kuasa. Padahal kedut di wajah ayah menyimpan seribu kenangan pahit silam kalau peristiwa lalu dibuka kembali. Antaranya pernah Penghulu Mukim orang kuat Umno berulang kali datang halau kami sekeluarga dari sebidang tanah kerajaan yang ditumpang untuk dibina sebuah rumah buruk bagi tujuan tempat berteduh. Nak mohon bayar jelas tanah tak diluluskan lantaran keluarga kami hijau sejak dulu lagi.

Tapi ayah tak ajar anaknya menjadi seorang pendendam. Saya pegang kukuh pesanan ini sampai mati. Bantuan lain tak usah ceritalah. Kami 13 beradik tak pernah mimpi. Bukan cerita bantuan uniform sekolah, butang baju sekolah pun kami tak pernah dapat.

Anak-anak muda yang tak pernah melalui zaman perit tersebut, mereka lebih mudah untuk disantuni. Sekadar dengar kisah-kisah lama, tak sepahit mereka yang mengalami sendiri.

Kenapa saya imbas sikit kisah ini? Sebab ada orang tua pesan, jangan ambil mudah dengan apa yang telah lepas walau kita melangkah ke depan.

Kita berazam untuk meletakkan noktah kepada memori silam ini. Ia bukan luka kecil, tetapi dengan jiwa besar, kita mampu menanggung pedih luka besar ini. Memaafkan orang ketika kita lemah itu biasa, tetapi memaafkan orang lain ketika kita berkuasa adalah tanda ketinggian budi. Kita sendiri pun ada banyak kelemahan dan kesalahan. Semoga dengan kita saling memaafkan sesama manusia, Allah akan mengampuni kita.

Selamat Menyambut Hari Malaysia 16 September 2019.

DR AZMAN IBRAHIM
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 16/9/2019