Muafakat Nasional, BMF: 2 formula kembali asas negara

FIRMAN Allah SWT dalam surah Al Anfal ayat 73-74:

Advertisement

وَٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلِیَاۤءُ بَعۡضٍۚ إِلَّا تَفۡعَلُوهُ تَكُن فِتۡنَةࣱ فِی ٱلۡأَرۡضِ وَفَسَادࣱ كَبِیر
وَٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ وَهَاجَرُوا۟ وَجَـٰهَدُوا۟ فِی سَبِیلِ ٱللَّهِ وَٱلَّذِینَ ءَاوَوا۟ وَّنَصَرُوۤا۟ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ حَقࣰّاۚ لَّهُم مَّغۡفِرَةࣱ وَرِزۡقࣱ كَرِیمࣱ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang kafir, setengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi setengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar bantu-membantu sesama sendiri yang diperintahkan oleh Allah) itu, nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar.
Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.”

najhanHimpunan Penyatuan Ummah PAS-Umno pada 14 September 2019 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) adalah satu lakaran sejarah terbaru dalam konteks politik dan masyarakat di negara kita.

Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai oleh dua parti gergasi Islam dan Melayu di negara Malaysia bakal membentuk dan mencorak rupa baharu politik negara dan malah kepada kebangkitan dan kesedaran masyarakat khasnya umat Islam dan Melayu untuk bersama-sama berganding bahu mengenepikan perselisihan dan perbezaan yang selama ini merugikan dan melemahkan.

Hakikatnya penyatuan dan persahabatan antara kedua parti terbesar ini dinanti-nantikan oleh umat Islam di negara ini dan pihak di kalangan yang bukan Muslim tidak perlu risau dan takut dengan provokasi oleh DAP dan khadamnya yang mencemburui inisiatif taawun ini.

Ia adalah kerana kerjasama dan penyatuan PAS-Umno bakal memanfaatkan ke arah kemakmuran dan kesejahteraan kehidupan seluruh rakyat di Malaysia samada Muslim mahupun bukan Muslim. Ini kerana Muafakat Nasional adalah persefahaman untuk mengelakkan persengketaan yang berpanjangan selama lebih puluhan tahun kepada persaudaraan berasaskan kepada Islam, keharmonian pelbagai kaum dan kesejahteraan negara.

Sejarah telah menyaksikan pertembungan PAS-Umno sejak sekian lama yang pernah beberapa kali menyelubungi dengan peristiwa yang membawa parut kepada sejarah negara ini. Pertembungan berpanjangan ini sebenarnya adalah tidak sihat malah mampu merugikan negara dan umat Islam tambahan lagi ia bercanggahan dengan prinsip Islam iaitu mengutamakan persaudaraan dan perdamaian daripada pertembungan dan perbalahan.

Renungi firman-Nya dalam surah Al Hujurat ayat 10:

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةࣱ فَأَصۡلِحُوا۟ بَیۡنَ أَخَوَیۡكُمۡۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُون

Maksudnya, “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

Malah, pihak seperti DAP dan sekutunya akan mengambil peluang kepada pertembungan dua parti Melayu Islam terbesar ini untuk mengembangkan idealisme dan pengaruh untuk merungkai asas kenegaraan sejak sekian lama. Ia disaksikan dengan kemenangan PH membentuk Kerajaan Persekutuan yang membawa negara dan rakyat menuju ke arah penghapusan integriti asas kerukunan negara yang dipersetujui bersama ketika merdeka.

Asas-asas rukun negara iaitu Islam sebagai Agama Persekutuan, Raja-Raja Melayu, Bangsa Melayu dan peribumi kini sedangkan dirobek oleh pihak yang tidak mengenal budi, golongan chauvinis, pengkhianat negara, penipu rakyat, rasis, anti-Islam dan anti-Melayu. Ini berlaku  setelah Islam dan Melayu berjaya dipecah perintahkan dalam beberapa episod pertembungan pilihan raya yang mengakibatkan kehilangan dominasi kuasa Islam Melayu.

Sikap majoriti pemimpin PH dan Kerajaan PH tidak lagi boleh dikompromi dan dibiarkan agar terus berlanjutan sehingga mampu menjejaskan keharmonian kaum dan memungkinkan berlaku huru hara yang tidak diingini. Agenda Malaysian Malaysia oleh DAP sangat berbahaya dan bertujuan sangat buruk demi untuk mencapai cita-cita itu mereka sanggup melakukan apa sahaja bagi merealisasikannya walaupun dengan menipu daya dan memperdaya kononnya bangsa dan agama lain selain Islam dizalimi dan dinafikan hak sehingga ke peringkat antarabangsa untuk mendapat belas kasihan dan sokongan.

Penyatuan dan muafakat ini sebenarnya mampu membentuk satu koalasi yang besar sebagai signal jelas kepada kebongkakan dan kesombongan pemimpin PH dan kerajaan yang berlagak buat apa sahaja tanpa memikirkan kesan buruk kepada negara dan rakyat. Negara tidak dipandu lagi ke arah kebaikan malah ia sedang bergerak menuju kehancuran sekiranya tidak segera dibendung dengan kesedaran dan kekuatan suara rakyat dan impikan kedamaian dan kemakmuran.

Maka, atas faktor ini Muafakat PAS-Umno adalah satu tuntutan semasa bersifat nasional dan sangat kritikal yang lebih memahami pembentukan negara Malaysia ini sejak merdeka. Ini kerana kedua-dua parti ini antara yang bertanggungjawab bersama-sama dalam menuntut kemerdekaan selain parti MCA, MIC dan Negara. Kedua-dua parti PAS dan Umno mampu mengenepikan perbezaan dan sejarah silam dalam rentetan politik 60 tahun lebih negara ini semata-mata untuk melihat negara kembali semula di atas kerukunannya.

Formula penyatuan ummah atau Muafakat Nasional ini dengan izin Allah bakal menjadi titik tolak kepada penyatuan bersama kaum dan bangsa lain di negara ini atas asas cintakan negara dan menghormati prinsip-prinsip kerukunan pembinaan negara Malaysia.

Formula Kempen Buy Muslim First (BMF) atau dikenali Kempen Beli Produk Muslim adalah satu usaha yang amat menarik. Kempen ini bukan bersifat memboikot produk pihak lain apalagi kempen yang bersifat permusuhan dan perkauman.

Ia adalah satu kempen kesedaran dan akan membentuk persaingan yang sihat dalam pasaran ekonomi yang  memberikan keuntungan dan kebaikan kembali kepada pengguna dan rakyat.

Umat Islam sewajarnya berada di tengah-tengah arus ekonomi dan pembangunan yang sejak sekian lama mereka dibiarkan jauh dan dikesampingkan kesan daripada polisi dan strategi penjajah British untuk membantut kebangkitan umat Islam di negara ini.

Ini kerana umat Islam dan umat Melayu yang terawal dan teramai melawan penjajah tanah Melayu sejak Zaman Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun dan komunis tanpa dinafikan kaum lain.

Strategi penjajah memastikan umat Islam dan Melayu tidak kuat dan mampu untuk membina gelombang kebangkitan antara lain ialah ekonomi. Maka ia telah dan sememangnya satu strategi yang amat efektif dan berjaya.

Namun, apabila setelah negara merdeka, umat Melayu dan Islam memberi kepercayaan kepada bangsa dan kaum lain seperti Cina dan India untuk bersama-sama kongsi kemakmuran dan rezeki tanah air tanpa prejudis dan syak wasangka dan hati terbuka. Dengan harapan, kepercayaan ini dibalas dengan budi dan kepertanggungjawaban atas semangat cintakan negara dan menghormati hak penduduk asal dan peribumi.

Akan tetapi, kepercayaan ini dikhianati oleh sebahagian mereka yang mencuri peluang ini untuk mengaut keuntungan melampau, menafikan hak pengguna Islam, mengeksploitasikan halal, mengutamakan golongan korporat yang sombong dan juga pada masa yang sama menghina bangsa Melayu, Umat Islam dan pegangan agama yang dijamin dalam perlembagaan.

Golongan para peniaga dan pendominasi pasaran ekonomi apabila ini selepas sahaja Pilihan raya Umum ke-14 lalu mula bersikap kaduk naik junjung dan naik tocang dengan merasakan bahawa merekalah yang menjadi penyumbang dana pilihanraya terbesar sehingga jatuhnya kerajaan lalu. Mereka mulai menghina, merendahkan, mencampuri urusan Islam dan umat Islam dan juga berani mencatur urusan umat Islam.

Maka terzahirlah rupa sebenarnya mereka di kala menjadi gergasi ekonomi dan pasaran perniagaan dengan mengenepikan semangat persahabatan dan kenegaraan yang telah dibina atas asas saling mempercayai antara satu dengan lain satu ketika dahulu.

Umat Islam dan Melayu telah tersentak dengan kebobrokan ini perlu sedar bahawa kuasa ekonomi adalah satu keperluan, justeru menguasai pasaran dan kewangan merupakan jihad yang terutama dalam ajaran Islam.

Ekonomi dan perniagaan sememangnya tuntutan Islam dan umat Islam sekiranya bersatu dan berpakat mampu membentuk rangkaian dan kekuatan eokonomi yang tiada tolok bandingnya.

Umat Islam. Melayu memiliki potensi yang sangat baik untuk merebut peluang dalam ekonomi dan perniagaan kerana jumlah bilangannya melebih 65 peratus sebagai pengguna di negara ini

Umat Islam punyai kelebihan atas asas iman dan akhlak Islam malah diyakini menjaga hak-hak agama Islam dalam perniagaan dan ekonomi bukan sahaja untuk mengaut keuntungan akan tetapi ketaatan dan kepatuhan pada syariat Islam yang mengikat mereka.

Rasulullah SAW sendiri ketika sampai di Madinah, melakukan dua perkara utama iaitu yang pertama mendirikan masjid sebagai tempat ibadah dan pusat perhimpunan umat Islam. Kedua, Baginda SAW mendirikan pasar Islam sebagai menggantikan pasar Bani Qainuqa’ yang bersifat menindas dan zalim dalam pasaran ekonomi dan perniagaan.

Dengan wujudnya pasar Islam ini, masyarakat Muslim di Madinah membina kekuatannya tersendiri menerusi ekonomi dan perniagaan dan beroleh penghormatan daripada pelbagai pihak dan musuh tidak mampu untuk menindas dan menzalimi umat Islam.

Kempen Buy Muslim First adalah satu bentuk kesatuan dan perpaduan di kalangan umat Islam Melayu secara tidak langsung dan secara langsungnya membina kekuatan ekonomi Islam sekali gus ia memberi kesan kepada ekonomi negara dan persaingan dalam perniagaan yang sihat. Kesannya ialah pengguna jualah yang akan dapat manfaatnya nanti iaitu barangan dan perkhidmatan yang memuaskan hak dan kepentingan pengguna di negara ini khasnya umat Islam.

Semoga Allah SWT melindungi dan menjayakan usaha dua formula ini dan ia merupakan perintah-Nya iaitu untuk menjadikan umat Islam gagah dan bersatu teguh. Umat Islam yang melaksanakan tugas dan tanggungjawab kepada Allah pastinya akan bertanggungjawab dengan ajaran Islam kepada bangsa lain dan agama lain tanpa paksaan.

#MuafakatNasional
#BuyMuslimFirst

USTAZ MUHAMMAD NAJHAN HALIM
Pengarah Pilihanraya Dewan Ulamak PAS Pusat
Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor
16 September 2019 / 16 Muharram 1441 – HARAKAHDAILY 16/9/2019