Produk Muslim: UMMAH sangkal kenyataan negatif

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menyangkal kenyataan negatif setengah pihak yang mengatakan bahawa kempen beli produk Muslim sebagai memboikot produk bukan Muslim.

Advertisement

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata, kempen tersebut tidak sama sekali untuk memboikot produk bukan Muslim, malah melalui kempen itu dapat memberi manfaat kepada semua kaum.

“Sekiranya dilihat ekosistem ekonomi kini semua rakyat akan mendapat manfaat dan terbukti apabila ramai pengusaha, pekedai yang telah menurunkan harga barang mereka dan manfaatnya diperolehi semua bangsa.

“Alhamdulillah kempen ini telah mendapat sembutan yang luar biasa daripada pengusaha yang selama ini tidak ada peluang untuk memasarkan produk mereka,” katanya dalam sidang media sempena Kempen Beli Produk Muslim di Dewan Seminar Kohilal, di sini, hari ini.

Katanya, hal ini mungkin faktor kewangan dan kekurangan infrastruktur menyebabkan mereka tidak berkembang.

Berikutan daripada itu, pihaknya telah membuat kerjasama dengan aplikasi abata untuk memudahkan pengusaha dan usahawan kecil dapat memasarkan produk mereka melalui aplikasi itu.

Jelasnya, aplikasi tersebut dapat membantu pengusaha dan usahawan untuk memasarkan produk mereka ke serata tempat dengan mudah.

Menurut Aminuddin, objektif utama kempen itu adalah untuk membantu meningkatkan ekonomi orang Melayu Islam yang kini terkebelakang daripada kaum lain di negara ini.

“Kempen ini untuk menaikan taraf ekonomi orang Melayu kalau boleh berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan kaum lain.

“Sudah tentu apabila suasana sedemikian, negara ini akan lebih harmoni, hubungan kaum akan lebih baik dan ekonomi negara akan makin berkembang,” ujarnya.

Beliau juga menyeru semua pengguna orang Muslim supaya menyokong kempen ini demi meningkatkan taraf ekonomi Muslim di negara ini. – HARAKAHDAILY 16/9/2019