Sabah, S’wak mesti pertahan kuasa politik Peribumi

BINTULU: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkongsi sejarah panjang Hari Malaysia dalam program An Evening With Presiden PAS di Pantai Tanjung Batu, di sini malam tadi.

Advertisement

“Malam ini kita menyambut hari Malaysia atau hari merdeka. Apa makna itu merdeka? Merdeka makna Orang Putih, orang Eropah, orang British yang menjajah kita, memerintah kita, pulang balik ke negeri mereka.

“Mereka tinggal kita di sini. Mereka bukan orang asal di sini, mereka datang ke seluruh dunia untuk menjajah, merompak hasil-hasil negeri kita, memperhambakan kita. Orang Putih daripada England, daripada Belanda, Sepanyol, datang membahagi-bahagikan daerah ini.

“Belanda menjajah Indonesia, British menjajah Malaysia, Sepanyol menjajah Filipina. Negeri mereka tidak ada hasil. Mereka datang untuk merompak hasil negeri kita, dan mereka memperhambakan kita. Oleh kerana kita lemah dengan sebab berpecah, berkelahi sesama sendiri,” ujarnya.

Menurutnya, walaupun penduduk rantau ini dari satu rumpun; Indonesia, Filipina dan Malaysia; disebalik bahasa-bahasanya agak sikit berlainan, tetapi oleh sebab tidak bersatu, penjajah datang mengambil negeri dan memperhambakan penduduk.

Kemudian mereka itu katanya, bawa orang-orang Cina yang mereka jajah di Hong Kong, Macau, Taiwan dan lain-lain untuk kerja di sini dengan diletakkan di kawasan perlombongan, manakala orang India di estet getah.

“Orang Cina berniaga, mereka menguasai ekonomi dan kekayaan, menguasai kilang, lombong, bekerja untuk Orang Putih juga, untuk penjajah juga. Barang-barang kita jual kepada tauke-tauke Cina, pada kilang-kilang orang putih, dia yang tentu berapa harga dia beli barang kita.

“Dia proses, dia buat kasut, buat selipar, buat macam-macam, dia jual kepada kita, dia juga yang letak berapa harga. Cerdik ke kita? Kita jual barang, dia tentu harga, dia jual barang, dia tentu harga. Menyebabkan mereka menguasai kekayaan.

“Semua orang (penduduk) asal miskin, Melayu, Iban, Kadazan, Murut, semua miskin, termasuk orang India di estet India. Walaupun banyak barang-barang yang kita keluar, kita dimain-mainkan, kita lemah,” terang beliau.

Peribumi bangkit berjuang

Jelasnya, Orang Putih berada di atas menjajah, namun pemimpin kaum peribumi asal Malaya bangkit melawan ramai pemimpin Malaya yang lawan Orang Putih hingga ada dibunuh, ditangkap dan dibuang negeri.

Termasuk di Sarawak katanya, ada orang Iban yang melawan Orang Putih di mana semua mereka bangun berjuang tanpa bersikap menyerah kalah hinggalah Perang Dunia Kedua, Orang Putih terpaksa guna khidmat anak negeri.

“Perang besar Jepun dan Jerman menyerang British, menyerang Eropah, menyerang negeri-negeri Barat. Mereka tak tahan, gunakan anak-anak negeri. Mereka janji, lepas perang, nak beri merdeka, nak beri merdeka, nak beri kemerdekaan.

“Maka Malaya merdeka, 31 Ogos 1957. Mengapa Sarawak kemudian, Sabah kemudian? 16 September tahun 1963, dikemudiankan? Diberi Malaya dulu, Indonesia merdeka daripada Belanda. Kemudian penjajah-penjajah ini dia bahagikan dunia ini.

“Amerika, British, Eropah, ini blok Barat. Soviet dan China itu Komunis. Dunia dibahagi dua, sebahagiannya untuk orang Eropah, iaitulah Amerika, British, Perancis, New Zealand, Australia, dan sebahagiannya dikuasai oleh Soviet Union dan China Komunis.

“Bila nak beri merdeka, British mahu beri merdeka pada Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura dengan membentuk Malaysia. Indonesia mahu Sabah Sarawak masuk dalam Indonesia. Indonesia bersama dengan China dan Soviet,” terangnya.

Terbentuknya Malaysia

Menurutnya, terjadi persengketaan Malaysia dengan Indonesia dalam menentukan kedudukan Sabah, Sarawak dan Brunei menyertai pihak, tetapi masa itu PAS mahu supaya tiga negara bergabung dalam MaFilIndo, ataupun Melayu Raya.

Di mana PAS bertegas supaya Malaya tidak menyertai China, Rusia Soviet, mahupun tidak Barat, tetapi Umno dan lain-lain mahu membentuk Malaysia di mana dengan kemenangan pilihan raya, mereka membentuk Malaysia.

“Tetapi oleh kerana berkelahi antara Malaysia dan Indonesia, Bangsa-bangsa Bersatu membuat keputusan supaya diadakan referandum pilihan raya. Bertanyakan rakyat Sabah dan Sarawak, Brunei mahu masuk Malaysia ke Indonesia?

“Maka kemerdekaan 31 Ogos ditangguh pada 16 September. Rakyat Sabah dan Sarawak setuju masuk Malaysia. Brunei berasingan, mahu sendiri. Brunei mencapai kemerdekaan sendiri. Sabah Sarawak masuk Malaysia, bergabung dengan Malaya.

“Bermakna Orang Putih balik, dihalau. Kita sudah merdeka. Tetapi, cara pemerintahan, penyusunan masyarakat masih lagi ikut cara Orang Putih. Cina menguasai bandar, orang (Peribumi) asal duduk di kampung, di ulu, kawasan pedalaman.

“Mereka (orang Cina) menguasai ekonomi, di Semenanjung di Malaya begitu juga. Hari ini jumlah orang Melayu dan orang (Peribumi) asal, 70 peratus. Orang Cina 24 peratus sahaja. India dalam 8 peratus. (Tetapi) Orang Cina menguasai kekayaan 70 peratus,” ujarnya menerang asas ketidakseimbangan itu.

Ketidakseimbangan kekayaan

Menurutnya, orang Melayu Bumiputera sedikit sahaja mendapat hasil kekayaan negara ini baik dari segi perniagaan, mahupun dari segi hasil bumi, minyak dan sebagainya, sedangkan Islam mengajar, hasil-hasil negeri adalah kepunyaan sendiri.

“Maka hasil-hasil itu hendaklah dimanfaatkan untuk negeri itu dahulu. Setelah lebih, barulah dikembalikan kepada Kerajaan Pusat. Ataupun pendekatan 20 peratus (negeri), 80 Kerajaan Pusat. Sebaik-baiknya selesai masalah negeri dulu.

“Di Negeri Sarawak, Sabah, Terengganu, Kelantan ada hasil minyak, gas. Minyak gas di Terengganu 60 peratus, paling banyak di Malaysia, negeri yang pernah PAS memerintah. 1959 kita menang, 1961 kita kalah. 1999 kita memerintah balik hingga 2004, kita ada hasil minyak.

“Tapi dia bagi 5 peratus sahaja. Terengganu patut lebih banyak, terima nasib yang sama dengan Sabah dan Sarawak. Hasil negeri paling banyak, tapi rakyat miskin paling banyak. Ini berlaku. Kita mahu betulkan balik,” ujarnya tekad.

Jangan biar dikuasai

Pada PRU14 baru-baru ini ujarnya, PH telah berjanji hendak selesaikan masalah, di mana dengan PH dikuasai oleh DAP, telah mewujudkan kebimbangan Sarawak dan Sabah juga akan dikuasai oleh DAP, sekali gus penguasaan orang-orang Cina.

Sedangkan katanya, masyarakat majoriti dari kalangan Bumiputera, Melayu, Iban, Kadazan dan Dusun oleh kerana berpecah, telah menyebabkan DAP boleh menguasai bandar, menguasai negeri selain turut menguasai kekayaan lagi.

“Dia di bandar sahaja. Sedangkan hasil-hasil negeri banyak di kampung-kampung. Dengan sebab itu orang Bumiputera, orang (Peribumi) asal, orang Melayu mesti bersatu. Bukan kita nak halau orang Cina, tidak. Tapi biar dia faham, biar memerintah ini adil, jangan dia sahaja membolot kekayaan, lupakan orang-orang (Peribumi) asal.

“Dalam bab ini, orang (Peribumi) asal mesti faham politik, faham pilihan raya. Pilihan raya ini bukan RM50, RM100, RM1,000. Pilihan raya ini maknanya kita menentukan kerajaan yang memerintah negeri kita ini bagaimana, ini makna pilihan raya untuk 5 tahun. RM50 tak cukup, 50 tahun dia buat macam-macam pada kita.

“Maka saya nak peringatkan kepada penduduk asal Sabah dan Sarawak, supaya pertahankan kedudukan kuasa politik orang Islam, orang asal, terus menguasai Sabah dan Sarawak ini, kerana kita sahaja yang boleh buat adil untuk semua. Orang lain tak boleh buat adil untuk semua,” serunya. – HARAKAHDAILY 16/9/2019