Jual rumah untuk warga asing, satu kebimbangan

SEJAK akhir-akhir ini, sama ada media cetak mahupun elektronik hangat mempertikaikan cadangan awal Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menjual rumah mewah yang tidak laku kepada warga asing. Cadangan ini juga dilihat sengaja membuka “ruang” kepada jutawan warga asing untuk mengaut keuntungan di negara kita.

Advertisement

Persoalan yang timbul, adakah akan wujud peningkatan jumlah hartanah yang dimiliki oleh warga asing di negara kita memandangkan kenyataan menteri sebelum ini memberitahu setakat ini hartanah milik warga asing tidak melebihi satu peratus?

Isu ini menjadi satu kebimbangan pelbagai pihak memandangkan secara langsung harga rumah akan melonjak naik dan tidak masuk akal sekali gus hilang kemampuan rakyat tempatan sendiri untuk memiliki rumah walhal kadar pertumbuhan pendapatan isi rumah tidaklah memberangsangkan sejak sekian lama.

Berdasarkan laporan National Property Information Centre (NAPIC) berlaku peningkatan hartanah yang tidak terjual dalam semua kategori iaitu 54,078 unit yang bernilai RM37 milion pada tahun 2019 berbanding 51,265 unit yang bernilai RM35 milion pada tahun 2018.

Pihak KPKT seharusnya memikirkan langkah yang bernas dan proaktif untuk menyelesaikan isu lambakan rumah yang tidak mampu dibeli oleh warga tempatan bukannya mengeluarkan kenyataan yang “mengguris hati” rakyat yang masih tergapai-gapai untuk memiliki rumah.

Menteri juga tidak seharusnya lebih pro kepada pemaju tetapi perbincangan secara holistik perlu diadakan dengan semua pemaju di negara kita agar isu lambakan rumah yang tidak terjual dan harga rumah yang melambung tinggi dapat diselesaikan tanpa menyalahkan kerajaan terdahulu mahupun membuka ruang secara mudah kepada warga asing.

Bahkan juga, pemaju yang menarik pelabur Hong Kong untuk membeli hartanah di negara kita susulan krisis politik di pulau itu juga perlu dibendung sewajarnya bagi mengelakkan harga rumah terus meningkat sehingga tiada harapan rakyat tempatan untuk memiliki rumah kelak.

Oleh hal yang demikian, tidak hairanlah terdapat jumlah yang besar unit rumah yang baru dilancarkan tidak terjual apabila laporan NAPIC menyatakan sebanyak 32,936 unit kediaman yang bernilai RM19 milion tidak terjual pada tahun 2019.

Saya juga ingin mempersoalkan jaminan sejauh mana dengan penjualan rumah mewah dapat memulihkan ekonomi negara? Saya khuatiri sekiranya terdapat agenda yang tersembunyi.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB CHE ALIAS HAMID
Ahli Parlimen Kemaman
17 September 2019 | 17 Muharram 1441 – HARAKAHDAILY 17/9/2019