Mengacau asyura rapatkan ukhuwah – YB Chenor

MARAN: Program mengacau asyura mampu merapatkan ukhuwah dalam komuniti kerana melibatkan ahli kariah bergotong-royong daripada awal menyediakan bahan sehinggalah menikmati hasilnya.

Advertisement

Perkara tersebut dinyatakan Adun Chenor, Ustaz Mujibur Rahman Ishak ketika menghadiri program mengacau asyura anjuran Masjid Kampung Bukit Cempedak, di sini hari ini.

Mengacau bubur asyura secara bergotong-royong merupakan tradisi masyarakat Melayu Islam sejak dulu dan sinonim dengan tanggal 10 Muharam saban tahun.

Hari Asyura sering dikaitkan dengan kisah Nabi Nuh dengan kaumnya selepas berakhir peristiwa banjir besar di mana baginda mengarahkan supaya di masak makanan menggunakan segala bijian yang ada.

Sementara itu program di Masjid Kampung Bukit Cempedak kali ini dijalankan secara sederhana, tetapi tetap meriah seperti tahun-tahun yang lampau.

Di dalam ucapannya, Ustaz Mujib turut mengingatkan supaya beramal dengan tiga pesanan Nabi Muhammad supaya iaitu memberi makan (bersedekah), menyebarkan salam dan menunaikan solat malam qiyamullail.

“Kita juga dianjurkan agar memohon afiat kesihatan dan keampunan dosa daripada Allah. Ada 10 afiat, lima di dunia dan lima di akhirat. Lima di dunia itu ialah memiliki ilmu, beramal dengan ilmu, ikhlas, syukur, redha dengan ketentuan Allah.

“Manakala lima afiat di akhirat ialah muka menjadi putih berseri di mahsyar, timbangan kebaikan lebih berat daripada kejahatan, hisab dimudahkan, dapat meniti titian Siratul Mustaqim dengan selamat dan yang terakhir dapat memasuki syurga,” katanya.

Hadir sama dalam program tersebut ialah Pengerusi MPKK Kampung Bukit Cempedak, Abd Wahab Salim serta Jawatankuasa Masjid Kampung Bukit Cempedak. – HARAKAHDAILY 17/9/2019

IMG 20190917 WA0067