Mujahid nak tipu siapa?

MUJAHID menulis lagi. Setiap kali beliau menulis, pasti ada bahan lawaknya. Setelah Warkah Dari Cordova tidak dilayan si janda, beliau mengambil masa yang agak lama untuk menulis kembali. Kali ini dengan tajuk Amanah: Parti Masa Depan, lebih tambahan elemen lucu dan menipu. Beliau tidak suka menulis berkenaan masa depan negara secara khususnya, apa yang beliau rancang untuk Islam pastinya. Kerana beliau Menteri penjaga agama-agama.

Advertisement

Tetapi beliau sinonim untuk menulis berkenaan dengan perbalahan, perkelahian, simpati kononnya dikhianati. Dan sangat gembira apabila beliau dapat menulis hal berkenaan PAS, jemaah lama yang cuba beliau hancurkan dahulu. Rindu benar beliau kepada PAS. Dengan menggunakan nama almarhum ayahanda beliau bagi mengukuhkan tempat, beliau menjadi kecewa disebabkan tidak dapat membohongi ahli PAS kerana ahli PAS mengagumi ayahandanya, tetapi tidak kepada beliau.

Oleh kerana beliau suka menulis berkenaan persengketaan dalaman, maka dengan itu, lahirlah sebuah tesis bertajuk “Konflik Organisasi Dalam Parti Islam Dan Kesannya Terhadap Perubahan Organisasi” yang menganugerahkan pangkat doktor falsafah kepada beliau, iaitu berkenaan hal PAS Melaka yang menyebut beberapa perbalahan dalaman. Kemudian, semalam, beliau menulis lagi sempena Hari Malaysia berkenaan perkelahian dalam PAS, sehingga tertubuhnya PAN, parti yang beliau bernaung sekarang ini.

Beliau memulakan tulisan dengan lawak pertama iaitu mendakwa PAN ialah parti bersumberkan Islam. Bagaimana dengan fitnah RM90 juta itu? Islam mana yang ajar memfitnah? Mana janji-janji manifesto, ketika beliau tidur di jalanan dan banyak lagi? Islam mana yang ajar memungkiri janji? Sifat mungkir janji ialah sifat munafik, bukan Islam. Kemudian pada ayat lain, beliau menulis PAN ialah parti inklusif. Ya inklusif itu bagus, tetapi apa makna inklusif jika keputusan kita dibayangi kehendak DAP? Itulah makna inklusif?

Beranjak ke pereggan lain, beliau cuba lagi menipu dengan menamakan “krisis dalam PAS” pada tahun 2013 dahulu yang mana sebenarnya ialah strategi yang dirancang G18 untuk menjadikan PAS sebagai khadam DAP, dengan mereka mahu menyingkirkan Presiden. Krisis yang mereka kata itu sebenarnya ciptaan mereka sendiri. Ketika itu majoriti AJK PAS Pusat adalah dari kalangan mereka. Tidak kurang juga pimpinan dari negeri-negeri yang dicandukan dengan janji menang Putrajaya dahulu, baru kita laksanakan Islam.

Di bawah daripada perenggan ini beliau cuba bermain permainan ala Yahudi iaitu dia yang memukul kita, dia pula yang menangis dengan secara tersirat cuba menuduh G18 telah disingkirkan secara terancang. Sebenarnya perwakilan PAS pada tahun 2015 di Kuala Selangor, sebagai watak utama secara bersama menolak mereka. Dengan perwakilan kawasan-kawasan yang kebanyakan mereka cerdik pandai, bolehlah dikatakan Mujahid secara sengaja menganggap mereka sebagai bodoh kerana tidak tahu memilih. Jika kamu terlalu bagus, perwakilan tidak sebodoh itu membuang kamu.

Kemudiannya beliau menuduh pula ulamak PAS sebagai dalang dan gila jawatan tertinggi PAS dalam permainan yang mereka sendiri cipta, antaranya terburu-buru untuk memutuskan hubungan dengan PR. Sedangkan ia dibawa ke muktamar dan dibincangkan. Akhirnya DAP yang keluar dari PR, yang mana Mujahid gagal atau terlupa atau buat-buat lupa untuk menulisnya dalam tulisan beliau, kerana jika ini ditulis, maka hilanglah makna pembohongan beliau. Rakyat masih diingati ketika mana PR memerintah Selangor, DAP keluar dan PAS kekal dalam PR bersama PKR, tetapi DAP masih memegang jawatan Exco, sambil memaksa PKR memecat Exco PAS.

Persefahaman PR, tidak dapat dikekalkan kerana sehinggakan pemilihan muktamar PAS, DAP turut sama mencampurinya. Jadi apakah maknanya lagi jika mereka yang kalah itu, disokong oleh DAP dari luar? Oleh itu, tiada gunanya Mujahid mengulangi beberapa kali bahawa mereka disingkirkan atas alasan yang kononnya mereka suci, kerana sejarah telah melipatkan episod itu yang mereka mahu berkhianat dalam parti sambil dibantu oleh DAP yang kebetulannya ramai pimpinan mereka Kristian Evangelis.

Mujahid sewajibnya menyebut juga dalam tulisan itu bahawa idea penubuhan ini datangnya dari DAP, warna oren itu dipilih Lim Kit Siang dan logo PAN dicedok dari stesen TV Tamil, Imayam yang berpangkalan di India. Tidak lupa juga lambang parti Perkerja itu ialah cangkul, sama dengan watak PAN sebagai Hang Cangkul dalam PH. Mungkin orang fikir saya melalut. Tidak saya tidak melalut kerana sememangnya PAN tiada fungsi yang jelas dalam PH dan kerajaan. Mereka sangat aktif apabila sesuatu melibatkan PAS. Itu sahaja tugas Hang Cangkul.

Laungan Rahmatan Lil Alamin sebagai retorik bagi memperlihatkan kononnya PAN memakai pakaian Islam dalam dasarnya. Slogan itu bukan sahaja ditolak oleh musuh politik mereka seperti PAS dan Umno, malah ulamak-ulamak bebas seperti Dr Abdul Basit Abdul Rahman juga tidak melihat roh di sebalik slogan itu. Malah, Mufti Perlis yang diketahui menyokong PH dahulu juga pernah menyindir slogan ini yang bagi beliau, sangat jauh daripada kebenaran. Malah ada penceramah bebas membuatnya sebagai lelucon dalam ceramah mereka. Adakah tokoh-tokoh ini bodoh, tidak kenal Islam sebagaimana PAN kenal?

Dan bagi menguatkan bohongan mereka, mereka selalu bersandarkan hujah yang lapuk menggunakan orang mati seperti jika TGNA masih hidup, pasti akan menyokong mereka. Mereka konon sedang mengikut jalan rentas yang diasaskan oleh Dato Fadzil Noor, bagi menagih simpati. Mereka lupa yang orang boleh mencari sejarah yang benar untuk dijadikan panduan. Mereka adalah anak-anak pimpinan PAS yang dirasuk JIM. Mereka telah disasarkan oleh JIM, ketika mereka masih muda belia lagi. Begitulah cara JIM merasuk. Semua orang tahu kebenarannya, kepada siapa Mujahid mahu menipu?

Cuma suka saya nasihatkan Mujahid agar tidak terlalu membawa PAN jalan ke depan dalam PH, apatah lagi bila PAN masih berada bersama PKR. Kerana jika PAN berjalan di depan dan PKR di belakang, saya takut untuk menyebutnya. Tambah lagi PAN parti terlemah dalam PH. Nanti tak daya nak melawan, kalau kena paksa. Fahamkan?

MOHD NASIR ABDULLAH
17 September 2019 – HARAKAHDAILY 17/9/2019