Merenung Penyatuan Ummah dari kalam Ilahi

SAYA tak ingat ianya pada masa tingkatan berapa, tetapi ayat 103 ali-‘Imran yang diulang-ulang baca semasa Himpunan Penyatuan Ummah 14 September 2019 yang lalu oleh Qari jemputan, Ustaz Tarmizi Ali memang dalam sukatan pelajaran Pengajian Agama Islam.

Advertisement

Surat ali-‘Imran ayat 103:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.”

Dalam kelas kami diberitahu kisah Kaum Aus dan Khazraj sebelum Islam menyatukan mereka. Bukan setahun dua mereka saling berperang, berbunuh bunuhan, zalim kepada antara satu sama lain. Ramai yang jadi mangsa. Anak kehilangan ayah, isteri kehilangan suami, kematian akibat saling berperang, bermusuh, bunuh-membunuh.

Akhirnya atas dasar Islam, kedua-duanya kaum ini dipersaudarakan. Melupakan segala dendam. Berazam membina persaudaraan dan kasih sayang.

Peristiwa saling membunuh, berperang, permusuhan diketepikan dan dilupakan kerana Islam dan penyatuan ummah itu lebih besar dari itu.

Sentiasa ada yang cuba menyucuk jarum agar perpaduan dileraikan. Seperti dikisahkan sebab-sebab turunnya ayat 103 ali-‘Imran ini seperti berikut.

Asbabun Nuzul :

Diriwayatkan oleh Al-Faryabi dan Ibnu Abi Hatim, yang bersumber dari Ibnu ‘Abbas bahwa ketikau kaum Aus dan Khazraj duduk-duduk, berceritalah mereka tentang permusuhannya di jaman jahiliyah, sehingga bangkitlah amarah kedua kaum tersebut. Masing-masing bangkit memegang senjatanya, saling berhadapan. Maka turunlah ayat tersebut (Ali ‘Imran: 101-103) yang melerai mereka.

Diriwayatkan oleh Ibu Ishaq dan Abusy Syaikh, yang bersumber dari Zaid bin Aslam bahwa seorang Yahudi yang bernama Syas bin Qais lewat di hadapan kaum Aus dan Khazraj yang sedang bercakap-cakap dengan riang gembira. Ia merasa benci dengan keintiman mereka, padahal asalnya bermusuhan. Ia menyuruh seorang anak muda anak buahnya untuk ikut serta bercakap-cakap dengan mereka.

Mulailah kaum Aus dan Khazraj berselisih dan menyombongkan kegagahan masing-masing, sehingga tampillah Aus bin Qaizhi dari golongan Aus dan Jabbar bin Shakhr dari golongan Khazraj saling mencaci sehingga menimbulkan amarah kedua belah pihak.

Berloncatanlah kedua kelompok itu untuk berperang.

Hal ini sampai kepada Rasulullah S.A.W sehingga beliau segera datang dan memberi nasihat serta mendamaikan mereka. Mereka pun tunduk dan taat.

Saya harap kita faham watak Yahudi yang bernama Syas bin Qais yang bencikan persaudaraan Islam yang terbentuk antara Aus dan Khazraj ini akan sentiasa ada.

Tiada salah sedikitpun jika disebut agenda menyatupadukan ummah, memperkasakan Islam melalui penyatuan ummah adalah lebih besar dari segala permusuhan yang pernah kita lalui sebelum ini.

AHMAD AMZAD HASHIM
18 September 2019 – HARAKAHDAILY 18/9/2019