Muslimat Bukit Mahkota rejuvenasi semangat juang

HULU LANGAT: Muslimat PAS Cawangan Bandar Bukit Mahkota telah mengadakan program Rehlah Rabithah Cinta yang dilangsungkan di Aulad Kidz Planet Ventures, Bandar Puteri, di sini kelmarin.

Advertisement

Program berbentuk pembangunan diri dan motivasi ini bertujuan membina semangat kerjasama berkumpulan dan kepimpinan Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Bandar Bukit Mahkota.

Ketua Penerangan Muslimat PAS Kawasan Hulu Langat, Siti Safura Mohd Isa mahu program sedemikian dilaksanakan secara berkala ke arah menyediakan kesiapsiagaan ‘bertempur’ pada PRU15 nanti.

Manakala Pengerusi Lajnah Dakwah Muslimat PAS Hulu Langat, Ustazah Norul Huda Bakar pula menyeru agar thabat dan berdiri laksana batu bata yang disusun mengukuhkan binaan jamaah.

“Jadilah kita pipit-pipit kecil yang membawa sedikit air di dalam paruh untuk memadamkan nyala marak yang membakar Nabi Ibrahim. Usaha kita mungkin nampak sedikit dan tidak signifikan tetapi secara kolektif insya-Allah usaha sedikit yang istiqamah amat besar impak dan nilainya di sisi Allah,” ujar beliau.

Ketua Muslimat PAS Bukit Mahkota, Nor Faridah Mat Nong turut menyeru mempersiapkan segala upaya dan kekuatan melawan musuh yang begitu berazam memecah belahkan masyarakat dan membenamkan identiti dan jati diri umat Islam.

“Allah menuntut kita mengerahkan kekuatan baik rohani, fizikal, kemahiran, harta, apa jua kelebihan dan aset milik kita untuk agama Allah. Tidak memadai melakukannya sambil-sambil atau suka-suka kerana kerja dakwah dan siyasah itu menuntut usaha tersusun dan serius.

“Hari ini kita recharge minda dan ukhuwwah sebagai rejuvinasi untuk kita bertenaga menghadap tugasan seterusnya,” tegasnya menghurai ayat 60 surah al-Anfal.

Program ini mendapat partisipasi penuh para peserta dalam beberapa modul team-building dan peserta turut diraikan dengan cenderamata cabutan bertuah sebagai penghargaan komitmen dan diakhiri dengan doa wehdah. – HARAKAHDAILY 18/9/2019

photo6055227954453129618