Tubuh RCI, tumpaskan sindiket MyKad tidak sah

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) telah mendedahkan wujudnya sindiket mendapatkan dokumen perjalanan (pasport) dan dokumen pengenalan diri (MyKad) secara fraud. Dalam operasi yang dijalankan, dikatakan sejumlah 20 individu termasuklah pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang, ejen, orang tengah, penganjur dan pemilik kad pengenalan, sijil lahir serta pasport Malaysia secara fraud telah ditahan. 
 
Saya mendesak agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan dengan segera bagi menyiasat siapakah dalang utama di sebalik sindiket ini. Penubuhan RCI sangat diperlukan pada waktu ini memandangkan sindiket penjualan MyKad adalah suatu tragedi kepada negara serta melibatkan kepentingan awam. Tambahan pula, PDRM dalam kenyataan medianya turut memberikan indikasi bahawa sindiket ini belum ditumpaskan sepenuhnya kerana masih ada ahli-ahli sindiket yang masih bebas.
 
Banyak persoalan yang memerlukan kepada siasatan yang bebas daripada pengaruh politik. Rakyat mahu tahu apa motif utama MyKad ini diberikan secara besar-besaran? Berapakah jumlah sebenar MyKad yang telah dijual dan apa status pemegang MyKad secara pintu belakang ini? Adakah mereka akan didaftarkan sebagai pengundi secara automatik pada pilihanraya akan datang? Adakah ribuan MyKad yang diperoleh secara tidak sah ini hanya dikeluarkan di Pulau Pinang sahaja, bagaimana pula dengan negeri-negeri lain? Adakah lebih ramai pegawai JPN yang terlibat?
 
Pemberian MyKad kepada warganegara asing ini umpama bom jangka kepada penduduk tempatan. Sejak sekian lama, media melaporkan warganegara asing ini telah terlibat dengan pelbagai jenayah. Pemerdagangan manusia, sindiket judi atas talian, sindiket jual emas palsu dalam talian, penyeludupan dadah sehinggalah kepada sindiket pelacuran di premis-premis maksiat. Bahkan, pada tahun 2008, terdapat cubaan seorang warganegara asing di Sabah yang telah menggunakan kad pengenalan diri palsu untuk memohon menjadi anggota tentera. Keadaan ini dilihat sangat membimbangkan kerana melibatkan kedaulatan Malaysia dan mengancam keselamatan negara. 
 
Paling mengejutkan adalah apabila Penolong Pengarah JPN, Datuk Lai Chin Wah sendiri telah ditangkap atas dakwaan terlibat dengan sindiket ini. Sekiranya sindiket ini tidak terbongkar, bayangkan apa akan jadi kepada Pulau Pinang apabila individu ini dinaikkan pangkat kelak. Tanpa suruhanjaya siasatan yang bebas, saya khuatir penangkapan pegawai tinggi JPN ini hanyalah untuk menutup siapa pengkhianat sebenar yang menyerahkan negara kepada yang tidak berhak.
 
“Islam Memimpin Perpaduan”
 
YB HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
18 September 2019/ 18 Muharram 1441H – HARAKAHDAILY 18/9/2019
Advertisement