Gabung UMT-UNISZA bukan prioriti

SAYA meneliti alasan-alasan yang diberikan oleh Dr Maszlee berhubung dengan penggabungan UMT dan UNISZA. Faktor utama penggabungan ini dikatakan kerana faktor pencapaian UMT yang tidak memuaskan terutamanya kegagalan UMT mengetengahkan kursus maritim sebagai kursus rujukan di peringkat antarabangsa.

Advertisement

Seterusnya, Dr Maszlee juga mewajarkan keputusan kerajaan itu dengan memberi alasan bahawa kebolehpasaran kerja bagi graduan universiti ini adalah rendah di samping kedua-duanya mempunyai kursus dan profesor dalam bidang yang sama.

Kenyataan-kenyataan Dr Maszlee ini menimbulkan banyak keraguan. Tidak wajar perbandingan dilakukan melalui ranking universiti dengan mengambil kira usia penubuhan UMT jika dibandingkan dengan universiti-universiti terkemuka tempatan yang lain. Jika ranking menjadi punca, bukannya tidak wujud universiti-universiti yang berada di bawah UMT.

Sekadar persamaan kursus juga bukan alasan yang kukuh untuk satu penggabungan kerana universiti yang mempunyai kursus tujahan (niche) sendiri juga masih mempunyai kursus-kursus lain yang ditawarkan. Alasan kebolehpasaran kerja pula hanya menunjukkan kegagalan kerajaan menyediakan peluang pekerjaan yang sesuai dengan bidang graduan.

Paling tidak boleh diterima adalah apabila menteri sendiri menidakkan pencapaian UMT dalam bidang marin. Walhal, Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) UMT telah diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sendiri sebagai Pusat Kecemerlangan Industri (ICoE) kluster Maritim kerana sumbangan dan kerjasamanya dengan universiti luar dalam pemfokusan bidang yang sama.

Di sebalik usia penubuhannya yang masih muda, ia juga diiktiraf oleh badan profesional iaitu The Chartered Institute of Logistics and Transport (CILT) dalam bidang pengangkutan dan logistik maritim dengan penubuhan Pusat Pengangkutan dan Logistik Maritim (MALTrac) yang pertama di Malaysia. UMT turut menubuhkan Pusat Pelayaran dan sedang giat membangunkan sebuah Pelabuhan Pengajaran (teaching port) UMT dan Pusat Repositori Marin Kebangsaan.

Banyak lagi pencapaian UMT di peringkat antarabangsa yang menjadi kebanggaan warga UMT. Saya percaya UMT sudah pun berada di trek yang betul untuk terus cemerlang dan menjadi rujukan universiti-universiti lain. Saya menyeru agar kerajaan menyemak balik keputusan yang dibuat kerana penggabungan dilihat bukan pilihan dan prioriti pada masa ini.

Kerajaan boleh sahaja terus membantu memperkasakan kursus-kursus tujahan di UMT dan UNISZA tanpa perlu kepada satu proses penggabungan yang memerlukan kepada kos yang tinggi. Ditambah dengan protes berterusan daripada ahli akademik, mahasiswa dan masyarakat setempat, proses yang tidak perlu ini akan menjadi rumit sekali untuk diselesaikan kerajaan dalam keadaan lebih banyak masalah rakyat yang memerlukan perhatian kerajaan.

Islam Memimpin Perpaduan”

YB HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
19 September 2019/ 19 Muharram 1441H – HARAKAHDAILY 19/9/2019