Jerebu: Kerosakan alam gagal dikawal

KAMI memandang serius gejala jerebu yang kini semakin parah berlaku di negara ini dan kini melanda rantau ini.

Advertisement

Sekali lagi pencemaran udara toksik ini melanda negara. Jenis pencemaran dan sumbernya diketahui, namun pencegahannya gagal dilaksanakan dengan berkesan.

Pada 1997 jerebu sangat buruk berlaku di rantau ini sehingga Persetujuan Asean (Asean Agreement) dimeterai antara anggota negara mengenai pencemaran jerebu merentas sempadan pada 2002.

Kini pada 2019 negara dilanda sekali lagi gejala jerebu yang serius dan pihak berwajib tidak dapat mengawal pencemaran jerebu toksik itu merentas sempadan.

Soalnya, apa terjadi kepada mekanisme kawalan yang dimeterai dalam persetujuan Asean itu ?

Ini bukan kali pertama ia berlaku. Sudah hampir setiap tahun pembakaran ladang oleh syarikat perladangan kelapa sawit dijalankan dan ia diketahui menghasil jerebu.

Ketelusan untuk menguatkuasa peraturan nampaknya tidak ada.

Syarikat perladangan yang beroperasi di luar negara belum cukup dipantau sehingga punca sebenar jerebu separah sekarang tidak ditangani.

Malaysia sendiri belum mempunyai mekanisme perundangan mengawal pencemaran merentas sempadan. Lantaran itu persetujuan Asean tersebut dilihat hanya pernyataan di atas kertas. Perlu ada suatu peraturan di peringkat dalam negara sendiri yang dapat menangani isu jerebu dari puncanya.

Pencemaran jerebu mengakibatkan lebih 1,000 sekolah ditutup beberapa hari yang lalu terutama di Sarawak dan beberapa negeri di Semenanjung. Suatu situasi yang tidak pernah berlaku separah ini.

Pembacaan Indeks Pencemaran Udara yang mencecah melebihi 200 di beberapa kawasan menandakan negara berada keadaan berjaga-jaga untuk mengisytihar bencana alam.

Berdasarkan statistik global terkini Malaysia menduduki tempat teratas di dunia dalam pencemaran udara.

Berdasarkan cerapan indeks pencemaran udara (IPU) oleh World Air Quality Index (WAQI) pada Rabu jam 6.20 pagi, Malaysia mencatat bacaan IPU 266.

Ia merupakan bacaan tertinggi di dunia, diikuti Afrika Selatan (217), Indonesia (207), India (194) dan China (178).

Jelas isu ini perlu ditangani diperingkat Asean yang melibatkan punca fizikal, perundangan dan politik.

Wawasan Asean bagi rantau bebas jerebu menjelang 2020 memerlukan keazaman politik yang tinggi untuk mencapainya di kalangan negara anggota. Ketelusan dan integriti menjadi isu yang sering dipertikai oleh awam bila dikait dengan kemahuan politik pemimpin negara serta ketegasan bertindak di kalangan penguatkuasa.

Bukan sahaja komitmen setiap negara malah mekanisme penguatkuasaan secara undang-undang perlu diwujudkan. Tidak guna hanya menyatakan komitmen tanpa ada mekanisme yang telus, berintegriti dan berkesan.

Dalam isu ini pembakaran ladang dan hutan berskala besar menjadi masalah utama jerebu rentas sempadan.  Pemerintah negara yang berkenaan perlu bertindak hatta terhadap syarikat luar yang menjadi pemilik syarikat.

Usaha pencegahan oleh pihak Indonesia, mahu tidak mahu perlu diusahakan dan kerajaan Malaysia perlu siasat jika memang ada syarikat milik Malaysia yang terlibat dalam pembakaran terbuka itu.

Untuk menghasilkan jerebu berskala ini bukan dari petani kecil. Ia adalah akibat pembakaran ladang beribu hektar oleh syarikat perladangan yang besar.

Tindakan yang berkesan supaya jerebu tidak berulang dirantau ini dengan mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan berkesan hendaklah diimplementasikan.

Lebih 4,000 titik panas dikesan di kawasan tengah dan barat Indonesia menunjukkan betapa kesan pembakaran merebak luas di kawasan yang berkaitan.

Tindakan kerajaan Indonesia dilaporkan menyita ladang termasuk konsesi milik syarikat asing, berhubung pembakaran terbuka dialu-alukan.

Yang penting punca masalah dikenal pasti dan saling tuduh menuduh dielakkan.

Semua pihak perlu bersikap objektif berdasarkan fakta dan data serantau Pusat Meteorologi Khas Asean yang menunjukkan asal asap kebakaran berpunca.

Sesiatan berhubung latar belakang ladang milik Malaysia yang beroperasi di Indonesia juga tidak boleh diketepikan.

Apa yang mustahak ialah  melaksanakan kerjasama  pencegahan dan pembenterasan serta memulihkan keadaan.

Inisiatif melindungi hutang dan kawasan tanah yang mudah terbakar hendaklah dilaksanakan seperti  dalam memorandum persefahaman antara kedua-dua negara berhubung penggunaan tanah dan latihan pengurusan kebakaran.

Apa yang berlaku di Amerika Latin perlu diambil pengajaran. Bukan sahaja beribu hektar hutan musnah malah ia membawa kesan kepada perubahan cuaca dunia.

Apapun sebagai negara Islam, Malaysia dan Indonesia perlu ada kesedaran untuk menghindari petaka yang berpunca asal dari kerakusan dan ketamakan manusia yang merosakkan alam. – HARAKAHDAILY 19/9/2019