Roboh: Tidak halang, biar habis peperiksaan dulu

SUNGAI BULOH: PAS Kawasan Sungai Buloh meminta Kerajaan Negeri Selangor bersikap perikemanusiaan dengan tidak sewenangnya meroboh rumah penduduk tanpa menyediakan alternatif yang sebaiknya.

Advertisement

Yang Dipertua PAS Sungai Buloh, Ustaz Zaharudin Muhammad berkata, pihaknya serta penduduk tidak sesekali menyekat pelaksanaan projek pelebaran Sungai Kedondong sebagaimana yang dicadangkan.

“Kami sebagaimana penduduk bukan berhasrat untuk menuntut pemilikan tanah yang akan diambil untuk perluasan sungai demi kepentingan awam.

“Tuntutan penduduk untuk menangguhkan perobohan sehingga anak-anak selesai menghadapi peperiksaan PT3, PSRA, SPM dan lain-lain adalah satu tuntutan kemanusiaan.

“Perobohan yang dilakukan semalam sangat mengganggu masa depan anak-anak yang menghadapi peperiksaan untuk mencorak masa depan mereka,” katanya dalam sidang media di Paya Jaras Hilir, di sini hari ini. Turut hadir sama, Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Salleh, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, Ustaz Hanafi Zulkapli dan Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Sungai Buloh, Siti Rohaya Ahad.

Jelasnya, perobohan juga dilakukan tanpa ada perancangan susulan seperti penyediaan rumah persinggahan sementara sehingga penduduk terutama kanak-kanak terpaksa merempat dalam khemah terbuka serta terdedah kepada jerebu, hujan dan sebagainya.

Menurutnya, penduduk kini menuntut janji Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Mohd Khairuddin Othman yang berjanji akan mempertahankan penduduk daripada rumah diroboh, sehingga mereka berasa berhak untuk kekal menetap di tanah tersebut.

“Mereka (penduduk) adalah warganegara Malaysia pemegang kad pengenalan biru, bukan pendatang asing yang menceroboh tanah kerajaan sebagaimana dakwaan setengah pihak.

“Terdapat penduduk yang mempunyai geran sementara pajakan 99 tahun. Namun apabila ditanya kepada pegawai terlibat mengatakan bahawa rumah mereka di luar daripada geran yang diberikan,” ujarnya.

Berikutan itu, katanya perkara itu juga dipertikaikan oleh pihaknya dengan meminta bukti dan laporan menyatakan rumah penduduk di luar daripada geran.

Bagaimanapun, pihaknya tidak menjadikan perkara itu sebagai keutamaan, sebaliknya tuntutan kemanusiaan sehingga roboh rumah tanpa sebarang alternatif kepada penduduk.

Setakat ini, sebanyak 67 buah rumah telah dirobohkan daripada 92 rumah yang dimaklumkan akan diroboh.

Purata lebih 250 orang penduduk yang terjejas kini ditempatkan di bawah khemah sementara yang dibina atas ehsan warga setempat tanpa kemudahan asas seperti tandas, tempat salin pakaian tertutup dan sebagainya. – HARAKAHDAILY 19/9/2019

SB1

SB2