Rumah diroboh, aspek kemanusiaan diabaikan

PAS Kawasan Sungai Buloh (PAS Kawasan) mengikuti secara dekat isu penduduk di Sungai Kedondong, Paya Jaras Hilir sejak daripada awal sehingga berlaku perobohan. Selepas diteliti isu dan keadaan, maka PAS Kawasan bersetuju untuk bersama penduduk atas faktor-faktor berikut:

Advertisement

1.     PAS Kawasan konsisten kepentingan awam perlu diutamakan dan reserve projek pembesaran sungai adalah keutamaan. Kami sebagaimana juga penduduk bukan berhasrat untuk menuntut pemilikan tanah yang akan diambil untuk perluasan sungai demi kepentingan awam.

2.     PAS Kawasan melihat, tuntutan penduduk untuk menangguhkan perobohan sehingga anak-anak selesai menghadapi semua peperiksaan seperti PT3, PSRA, SPM dan lain-lain adalah satu tuntutan kemanusiaan. Perobohan yang dilakukan semalam sangat mengganggu masa depan anak-anak yang menghadapi peperiksaan penting yang mencorakkan masa depan mereka.

3.     Perobohan dilakukan tanpa ada perancangan susulan seperti penyediaan rumah persinggahan (transit) atau rumah alternatif seperti rumah Selangorku dan lain-lain, menjadikan penduduk terutamanya anak-anak merempat di dalam khemah sementara yang terbuka serta terdedah kepada jerebu, nyamuk, basah hujan dan seumpamanya. Tiada kemudahaan seperti tandas, tempat salin pakaian yang tertutup bagi wanita dan lain-lain di khemah-khemah sementara yang dibina oleh penduduk dengan ehsan warga setempat mengundang krisis sifat kemanusian.

4.     Perobohan dilakukan waktu jerebu sudah mencecah bacaan Indek Pencemaran Udara (IPU) melebihi paras 200. Lebih 500 sekolah ditutup pada hari perobohan berlaku. Sikap pihak kerajaan meneruskan perobohan dalam cuaca seperti ini mengundang bahaya dan menjejaskan kesihatan terutamanya kepada anak-anak yang terpaksa berada di bawah khemah terbuka.

5.     PAS Kawasan juga melihat pihak penduduk mempunyai asas yang sangat kuat untuk menuntut semula janji-janji YB Mohd Khairuddin Othman, ADUN Paya Jaras yang menabur janji mempertahankan penduduk daripada dirobohkan. Janji-janji ini difahami oleh penduduk seolah-oleh mereka terus berhak untuk kekal disitu.

6.     Setelah pihak PAS bersama penduduk, didapati mereka adalah warganegara Malaysia pemegang kad pengenalan biru, bukan pendatang yang menceroboh tanah kerajaan sebagaimana dakwaan sesetengah pihak.

7.     Terdapat penduduk yang mempunyai geran tetapi mereka tidak mampu membayar peguam mewakili mereka untuk mencabar semula tindakan perobohan tersebut. Maka pihak penduduk yang mempunyai geran memerlukan masa untuk mencari peguam yang sesuai bagi pihak mereka.

Atas 7 faktor kemanusiaan di atas dan faktor janji yang ditaburkan, maka pihak PAS Kawasan Sungai Buloh membuat keputusan bersama-sama penduduk untuk mempertahankan saki-baki rumah yang belum diroboh terutamanya rumah yang mempunyai geran sejak tahun 1980-an.

Pihak PAS Kawasan Sungai Buloh juga menggesa kerajaan PH lebih bersifat prihatin terhadap semua pihak terutamanya rakyat bawah yang lemah dan tertindas.

ZAHARUDIN MUHAMMAD
Yang Dipertua PAS
Kawasan Sungai Buloh – HARAKAHDAILY 19/9/2019