Hikayat empat Abdul

DIKISAHKAN, pada zaman dahulu, ada sebuah keluarga yang tinggal di sebuah kampung. Mereka tinggal empat beranak. Si ayah Abdullah, anak yang sulung Abdul Wahab, kedua Abdul Wahid dan yang bongsu, Abdul Wahub. Ibu mereka sudah lama meninggal dunia selepas melahirkan Abdul Wahub. Ketiga-tiga anak itu belum berkahwin dan menjaga bapa mereka yang sudah tua sering sahaja sakit dan sudah tidak mampu untuk berkerja lagi. Banyak masa berbaring di atas katil.

Advertisement

Yang berkerja hanyalah Abdul Wahab, anaknya yang sulung yang lurus. Kedua adiknya pula hanya duduk di rumah dan menjaga ayahnya. Tidaklah mereka menjaga sangat orang tua itu. Asyik makan dan tidur sahaja kerjanya. Pemalas. Pun begitu, mereka pandai menipu. Banyak hal terpaksa dilakukan sendiri oleh ayah mereka. Tetapi kerana sayangkan anak, maka dipendamkan sahaja rasa kecewa sang ayah itu, untuk menjaga keluarga dari berkelahi. Buruk akibatnya.

Abdullah seorang yang agak kaya. Dia seorang penternak dan pernah dahulu menanam sayur. Dia ada berpuluh ekor lembu, kambing dan ayam yang dijaga oleh Abdul Wahab. Abdul Wahab hanya memikirkan agar makan minum keluarga mereka terjaga. Sebelum keluar kerja, dia siapkan makanan, setelah pulang petang, memasak untuk makan malam pula. Pinggan mangkuk, habis dia cuci. Sayang benar dia kepada ayah dan adik-adiknya, tidak mahu menyusahkan mereka. Naik lemaklah adik-adik Abdul Wahab.

Syahdan, suatu ketika, ayah mereka, Abdullah pergi buat selama-lamanya. Teramat sedihlah mereka kerana sudah tiada orang tua buat mereka berbakti. Tetapi hidup harus diteruskan kerana sudah menjadi adat, yang hidup pasti akan mati. Maka menjalanilah pekerjaan sehari-hari mereka seperti sediakala. Dan dalam keadaan begitu, rupanya si adik berdua itu, telah berpakat mahu membolot semua harta ayahnya. Dan rancanganpun dibuat.

Mereka berdua meminta supaya abangnya menyerahkan pembahagian pusaka kepada mereka kerana abangnya itu kurang pandai dalam kira-kira kata mereka. Selepas diberikan amanah itu, maka Abdul Wahid mengambil semua lembu-lembu itu, untuk dirinya. Manakala semua kambing serta ayam yang ada termasuk reban, diambil oleh Abdul Wahub. Dan buat kekanda mereka yang tercinta, Abdul Wahab, mereka tinggalkan beberapa uncang benih sayur yang sudah lama sahaja.

Abdul Wahab mengetahui pembahagian ini tidak adil. Maka dia memberitahu kepada adik-adiknya supaya mengira kembali harta itu dan mengagihkannya dengan betul. Sayang, rayuan abang mereka tidak dilayan, malah difitnah pula si abang itu kononnya telah lama memakan harta ayah mereka ketika ayah mereka sakit lagi. Jadi cukuplah bagi abang mereka dengan apa yang telah dicuri itu dahulu. Sekarang masa untuk mereka berdua pula menikmati kekayaan ini.

Sekonyong-konyongnya, riuh sudah hal keadaan itu di seluruh kampung berkenaan perebutan harta tiga beradik ini. Tetapi orang kampung lebih mempercayai fitnah dua adik Abdul Wahab daripada penjelasannya. Dia sangat sedih, ditipu dan difitnah oleh darah dagingnya sendiri. Kerana Abdul Wahab seorang yang baik dan tidak mahu adik-adiknya bertindak lebih jauh, maka dia mengambil keputusan untuk membawa diri dari kampung setelah kecewa dengan apa yang terjadi.

Dia kemudiannya membawa semua barang-barangnya termasuk benih-benih yang diberikan sebagai harta pusaka itu ke sebuah kampung yang jauh dari situ. Pada suatu malam, datanglah ayahnya, Abdullah dalam mimpinya. Disuruh oleh ayahnya kepada Abdul Wahab untuk menanam benih-benih itu. Diajar cara bercucuk tanam dalam mimpi itu. Nanti apabila tumbuh subur, bolehlah diambil hasilnya dan dijual. Abdullah sangat sedih kerana Abdul Wahab yang baik itu ditipu oleh anak-anaknya yang lain.

Maka segeralah berbuat akan Abdul Wahab pesanan oleh ayahnya dalam mimpi itu. Setelah beberapa lama, sayur-sayurannya mula mengeluarkan hasil. Dia mula menjual dan kembali menanam. Beberapa lama kemudian, Abdul Wahab mengutip lagi hasilnya. Begitulah kitaran hidupnya, akhirnya dia menjadi saudagar sayur yang berjaya. Dia sudah pandai mengira. Dia juga menjadi seorang yang dermawan dengan orang-orang susah.

Nun, di kampung asal Abdul Wahab, dua adiknya pula menjalani kehidupan yang sangat berbeza dari abang mereka. Setelah mendapat harta, mereka menjual sedikit harta itu untuk belanja. Makan mereka selalu di kedai kerana tidak pandai memasak. Pakaian mereka cantik-cantik. Mereka baru mengenal dunia kerana sebelum ini terlalu lama tinggal di rumah, menjaga ayah mereka, sehingga tidak kenal dunia luar. Oleh itu, semuanya mereka terpaksa beli kerana mahu hidup.

Mereka dikelilingi oleh rakan-rakan yang mahu menumpang harta mereka. Ke sana ke sini, tiada arah dan tujuan. Tugas mereka membodek dua beradik itu. Kian lama, harta semakin kurang. Maka diberilah cadangan oleh rakan-rakan mereka, agar mereka berjudi, mana tahu, untung nanti akan menjadikan harta mereka berganda-ganda. Setelah dipujuk, kedua beradik itu pun bersetuju untuk mencuba nasib. Didatangilah mereka tempat berjudi bagi mencari rezeki. Nasib si penjudi, adakala menang, adakala kalah.

Disebabkan mereka baru belajar, mereka sentiasa kalah, jarang-jarang menang. Rakan-rakan yang rapat, mula merenggang. Kedua beradik itu dipuji ketika berada. Lembu, kambing dan ayam, semakin berkurang. Akibat terlalu banyak dipuji dahulu, mereka masih merasa mereka kaya dan cerdik padahal sebaliknya. Sehinggalah mereka mula berhutang dengan taukeh judi. Hutang semakin banyak, harta semakin sedikit, kawan semua hilang, namun judi, tidak mereka tinggalkan kerana sudah ketagih.

Suatu hari, tauke judi memberi amaran kepada mereka supaya membayar dahulu hutang-hutang mereka sebelum boleh berjudi. Apabila mereka memeriksa harta mereka, mereka dapati mereka hanya mempunyai sepasang lembu dan sepasang kambing sahaja yang tinggal. Mereka merasa susah hati. Ketika mahu minum di kedai juga, mereka tidak lagi diberikan minuman sebelum membayar hutang-hutang lama. Bertambah walang hati mereka.

Terjumpalah mereka dengan seorang penjual yang memberitahu mereka bahawa si abang mereka, Abdul Wahab sekarang sudah menjadi kaya kerana berniaga sayur. Disuruhlah kepada mereka agar meminta bantuan dari abang mereka itu. Mereka merasa malu tetapi kerana tiada arah, Abdul Wahid dan Abdul Wahub pun, meminta ditunjuki jalan ke kampung Abdul Wahab bagi meminta tolong. Dan mereka terus pergi menemui Abdul Wahab setelah tahu jalannya ke sana.

Sesampainya mereka di rumah Abdul Wahab, disambutlah kepada mereka berdua itu dengan tangisan, melihat kepada kesusahan mereka dan bermaafan. Kedua adiknya, setelah itu, meminta diberitahu bagaimana Abdul Wahab menjadi kaya sedemikian. Maka diceritakanlah akan hal kejadian yang berlaku, kerana dia bercucuk tanam. Abdul Wahab menasihatkan mereka supaya mengembangkan harta mereka itu. Jangan dihabiskan, contohi dia menanam sayur dan berniaga hasil dari benih pusaka yang dia perolehi dahulu.

Teramat gembiralah mereka mendengar akan jalan menjadi kaya raya itu dari kekanda mereka yang tidak pula menaruh dendam sedikit pun. Belum sempat diceritakan semua, dengan segera mereka meminta izin untuk pulang kerana mahu mengembangkan harta mereka. Setelah diberikan bekal wang secukupnya oleh Abdul Wahab dan juga makanan, bergeraklah mereka dengan pantas kerana tidak mahu bertangguh lagi. Berazamlah mereka untuk bertaubat bagi menebus semua hutang dan menjalani kehidupan yang lebih baik.

Sesampainya di kampung, mereka segera melakukan kerja-kerja mengembangkan harta mereka yang ada itu. Setelah berpenat bertanam, mereka ke kedai untuk makan dan minum untuk berehat. Dengan sedikit bekalan wang yang diberikan kekanda mereka, mereka makan dan minum. Mereka berjanji kepada tuan kedai, akan membayar semua hutang-hutang mereka selepas harta mereka berkembang dan mereka berjaya nanti seperti kekanda mereka. Dianggukkan sahaja janji itu oleh tuan kedai, dipandang pun tidak.

Berjumpa pula mereka dengan tauke judi, sudah mahu berhenti mereka daripada berjudi. Juga dijanji akan dibayar hutang-hutang mereka itu nanti. Tauke judi itu setuju dengan janji membayar hutang itu tetapi agak ragu. Maka ditanyalah tauke itu akan mereka berdua, dari mana mereka akan dapat wang untuk membayar semua hutang-hutang mereka, sedangkan mereka sudah tiada harta. Mereka berdua menjawab, jangan bimbang kerana mereka telah memulakan kerja bertanam untuk berniaga.

“Oooo begitu. Apa yang lu olang tanam ini hali?,” Tanya tauke judi lagi.

“Kami menanam lembu dan kambing kami yang ada tu. Nanti, dapatlah kami hasil. Abang kami dah buat, dia kembangkan hartanya dengan bercucuk tanam dengan benih pusaka. Dia dah berjaya pun. Kami nak ikut jejak dia,” kata mereka berdua dengan yakin dan gembira.

Tauke judi melihat mereka berdua dengan matanya yang berkaca, sambil hujung bibirnya bergerak-gerak, menahan geram. Tauke judi tahu mereka bodoh, tapi tidaklah dia sangka sebodoh ini. Nampaknya tak dapat baliklah duit hutang dia.

Moral cerita ini, jangan menipu, jangan pecah amanah, jangan berjudi, jangan balas dendam, jangan percaya kawan-kawan yang jahat, jangan rasa pandai, kena buat wasiat sebelum mati, kalau nak bertaubat kena ada ilmu, semangat saja tapi bodoh tak guna, nak tiru boleh tapi kena tahu cara. Rasa-rasanya nampak tak watak-watak ni? Siapa Abdullah, Abdul Wahab, Abdul Wahid, Abdul Wahub, tauke judi dan tuan kedai, dalam politik Malaysia?

MOHD NASIR ABDULLAH
21 September 2019 – HARAKAHDAILY 21/9/2019