Jerebu: Fenomena peringatan!

JEREBU adalah fenomena yang terjadi apabila kepekatan aerosol atau zarah-zarah terampai di atmosfera dalam kepekatan yang tinggi. Zarah-zarah yang terampai ini menyerap dan menyerakkan cahaya matahari sehingga mengurangkan jarak julat penglihatan [1].

Advertisement

Sebenarnya pencemaran udara disebabkan jerebu ini bukan sahaja disebabkan oleh zarah-zarah terampai, tetapi ia juga berlaku disebabkan oleh gas-gas beracun dan berbahaya yang berlebihan di udara [2].

Zarah-zarah terampai ini terdiri daripada 70 peratus zarah karbon, 20 peratus debu tanah dan 10 peratus tidak diketahui puncanya. Manakala gas berbahaya pula terdiri daripada gas karbon monoksida, nitrogen dioksida, ozon dan sulfur dioksida. Zarah terampai yang mempunyai saiz kurang daripada 10 mikron (PM10) dicerap jumlah kuantitinya di udara dengan menggunakan alat khas menguji kualiti udara [2].

Jerebu di Malaysia bukanlah satu fenomena baru kerana ia mula direkodkan pada tahun 1982 apabila jerebu serantau dari pembakaran hutan yang mengganggu kehidupan seharian di Malaysia [3]. Sejak itu, beberapa episod jerebu telah direkodkan. Episod-episod yang teruk ini berlaku pada tahun 1997, 2005 dan 2015 [4]. Kini tahun 2019 episod jerebu kembali teruk.

Jerebu asap yang berlaku di Malaysia dan Asia Tenggara mengandungi kepekatan bahan pencemar udara yang tinggi. Merujuk kepada Hell dan Goldammer [5], kebakaran hutan yang terdiri dari tumbuhan dan pembakaran haiwan menghasilkan sejumlah besar gas berbahaya dan zarah terampai. Di dalam keadaan tertentu situasi ini boleh menyumbang kepada kematian dan penyakit serius [6] kerana partikel halus yang terhasil boleh masuk ke dalam sistem pernafasan.

Kesan kesihatan kepada manusia semasa episod jerebu telah direkodkan berdasarkan peningkatan kemasukan pesakit ke hospital, biasanya ia berkaitan dengan masalah pernafasan. Contohnya seperti kes pada tahun 1997, jumlah kunjungan pesakit luar di Hospital Besar Kuala Lumpur meningkat dari 250 hingga 800 orang sehari semasa episod tersebut [7].

Keadaan jerebu yang berpanjangan sudah pasti akan menyebabkan penurunan produktiviti di dalam aktiviti seharian kita. Oleh itu pengawalan dan pencegahan perlu dilaksanakan. Prinsip pengawalan boleh bermula pada sumbernya (at sources), laluan (at path) dan kepada penerima (receiver).

Pengawalan pada sumbernya adalah dengan pengawalan terhadap penebangan dan pembakaran hutan, pembakaran terbuka, pemprosesan industri, pembakaran bahan api serta kenderaan bermotor. Pengawalan kepada penerima pula adalah kepada manusia. Antaranya dengan memakai alat pelindung pernafasan jenis N95. Semua pihak disarankan untuk mengambil peranan dan langkah pengawalan yang berkesan samada diperingkat Kerajaan, Badan Bukan Kerajaan, Komuniti, keluarga dan diri sendiri.

Namun adakah kita yakin bahawa dengan mengenalpasti punca dan pengawalan yang dilaksanakan episod ini tidak akan berulang? Atau sebenarnya episod ini semakin mencabar kelestarian alam kita apabila berhadapan cabaran pembangunan moden? Atau sebenarnya ini adalah peringatan Allah kepada kerakusan manusia!

DR. HAMDAN A
Penulis merupakan ahli Kluster Kejuruteraan,
Jabatan Profesional Muda (JPro), DPPM
Pengerusi
Persatuan Siswazah Serdang Prihatin (PERSIP) 

Rujukan 

1.     Seinfeld, J.H., Pandis, S.N., 2006. Atmospheric Chemistry and Physics: from Air Pollution to Climate Change, second ed. JohnWiley & Sons, New Jersey
2.     Mastura Mahmud, Nuur Huraizah Abu Hanifiah, Pencemaran udara berikutan peristiwa jerebu tahun 2005:Kajian kes di Perai, Pulau Pinang, Malaysia (Air pollution during the haze event of 2005: The case of Perai, Pulau Pinang, Malaysia)
3.     Mohd Shahwahid, H.O., Othman, J., 1999. Malaysia. In: Glover, D., Jessup, T. (Eds.), Indonesia’s Fires and Haze: the Cost of Catastrophe. Institute of Southeast Asian Studies, Singapore
4.     Mohd Talib Latib et. al. , Impact of regional haze towards air quality in Malaysia: A review.
5.     Heil, A., Goldammer, J.G., 2001. Smoke-haze pollution: a review of the 1997 episode in Southeast Asia. Reg. Environ. Change 2, 24–37
6.     Kampa, M., Castanas, E., 2008. Human health effects of air pollution. Environ. Pollut. 151, 362–367
7.     Afroz, R., Hassan, M.N., Ibrahim, N.A., 2003. Review of air pollution and health impacts in Malaysia. Environ. Res. 92, 71–77. – HARAKAHDAILY 18/9/2019