Musim jerebu banyak minum air suam

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengingatkan rakyat di negeri ini menjaga kesihatan khususnya di musim berjerebu sekarang.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa KerajaanTempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, orang ramai perlu memakai penutup hidung jenis N95 ketika berada di tempat terdedah.

Menurutnya, langkah berkenaan mampu menghalang sekurang-kurangnya 95 peratus zarah terampa kecil bersaiz 0.3 micro daripada memasuki saluran pernafasan.

“Orang ramai juga perlu mengurangkan aktiviti luar khususnya sukan. Membasuh muka dan bahagian kulit yang terdedah kepada jerebu dengan air bersih dan mengguna penghawa dingin semasa dalam kenderaan juga langkah mengatasi jerebu,” katanya di sini.

Selain itu kata beliau perbanyakkan minum air suam di samping memilih untuk makan di rumah.

Menurutnya, jerebu merupakan keadaan kualiti udara yang tidak baik dengan kehadiran partikel (opalescent) terapung di udara yang mengurangkan jarak penglihatan.

Tambahnya, ia berpunca daripada pembakaran secara terbuka atau asap dari kilang atau kenderaan.

“Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) adalah panduan untuk mengetahui kualiti udara dan kesannya terhadap kesihatan,” ujarnya.

Menurutnya, jerebu ini memberi kesan buruk  kanak-kanak, orang tua, perokok, serta mereka yang bekerja di luar pejabat atau rumah.

Katanya antara kesan jerebu terhadap kesihatan, gatal-gatal di bahagian kerongkong dan batuk-batuk.

Di samping itu mereka yang berisiko akan terasa sukar untuk bernafas, mata  pedih dan berair serta kerap bersin. – HARAKAHDAILY 20/9/2019