PAS bawa lembaran Muafakat Nasional ke S’wak

DEWAN Pemuda PAS Negeri Sarawak terharu dan berterima kasih kepada Panitia Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan PAS Pusat kerana memilih Bintulu sebagai lokasi Sambutan Hari Malaysia Kali Ke-56. Bagi kami ini menunjukkan manifestasi keseriusan PAS dalam menterjemah agenda Permuafakatan Nasional ke Kepulauan Borneo supaya turut diurus libat bersama. Apa yang lebih istimewa, sambutan kali ini dibuat di rumah panjang RH Gima Bintulu yang mana pendudukanya semua berbangsa Iban.

Advertisement

Kehadiran penuh pimpinan utama PAS Pusat ke Sarawak membuktikan PAS sedang memimpin agenda besar untuk Sarawak bukan sahaja dalam aspek politik semata-mata, bahkan juga dalam aspek sosial, ekonomi, pendidikan dan hubungan antara kaum dan bangsa.

Pemuda PAS Sarawak melihat kehadiran Dato’ Seri Tuan Guru Presiden PAS ke Sarawak turut menerujakan sebahagian besar rakyat Sarawak khususnya penduduk di kawasan Bintulu dan Kuching. Apa yang menariknya? Setiap kali program bersama Tuan Guru Presiden PAS, ia senantiasa mendapat sambutan hangat dan menggalakkan dari penduduk setempat yang ingin melihat dari dekat akan watak dan ketokohan Presiden PAS.

Justeru, sambutan dan sokongan rakyat Sarawak muktahir ini kepada PAS sangat memberangsangkan, faktor ini di dorong dengan apa yang berlaku dalam sejarah politik Malaysia baru-baru ini, di mana PAS dan Umno yang merupakan parti politik terbesar Melayu menandatangani piagam yang diberi nama Permuafakatan Nasional untuk membentuk kuasa kolektif politik terbesar negara dalam berdepan PRU-15.

Keyakinan ini dibuktikan dengan berlakunya kunjung hormat Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ke atas Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Bin Tun Openg yang merupakan Pengerusi GPS. Dalam pertemuan itu, kelihatan kedua-dua pemimpin menunjukkan reaksi sangat positif akan kepentingan Permuafakatan Nasional yang sepatutnya Sarawak juga harus mengambil bahagian demi kesejahteraan penduduk Sarawak.

Di akhir pertemuan, kedua-dua pemimpin menyatakan komitmen untuk terus memastikan agar negara diurus dengan baik dan menolak agenda politik DAP yang senantiasa menganggu gugat perpaduan dan keamanan penduduk negara khususnya negeri Sarawak yang selama ini aman dan tenteram.

Dewan Pemuda PAS Sarawak bersedia dan berbesar hati untuk meneruskan agenda Permuafakatan Nasional peringkat Sarawak yang telah dibuka oleh Presiden PAS dan GPS untuk mengadakan sesi pertemuan muhibbah dengan Pemuda GPS dalam masa terdekat. Bagi kami, agenda pembinaan negara dan kemajuan bangsa merentas kepentingan politik. Inilah kehebatan dan aura kepimpinan yang ditunjukkan oleh Tuan Guru Presiden PAS untuk memastikan usaha ini berjaya.

Mudah-mudahan usaha ini akan memastikan Kerajaan Negeri Sarawak terus kekal dan tidak jatuh ke tangan kuasa politik rakus DAP dan sekutunya.

“Demi Islam”

“Untukmu Sarawak”

“Pemuafakatan Nasional”

HAMDAN SANI
Ketua Pemuda PAS Sarawak – HARAKAHDAILY 20/9/2019