PAS tetap mahu Tun M kekal sebagai PM

MARANG: PAS tetap dengan pendirian mahu kepimpinan negara dapat diteruskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sehingga tamat tempoh penggal Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Advertisement

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, rakyat telah memberi mandat kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana mahukan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Tuan Guru berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau akan dipilih menjadi Perdana Menteri pada tahun 2020.

Menurutnya, pilihan sebagai jawatan Perdana Menteri itu hendaklah di kalangan tokoh yang mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen Malaysia.

Justeru, katanya pendirian PAS mahukan Dr Mahathir terus kekal memimpin negara ini sehingga habis tempoh penggal berkenaan.

“Dari segi peraturannya begitulah. Sebab, rakyat pilih pilihan raya (PRU14) baru ini, pilih Pakatan Harapan biar Tun jadi Perdana Menteri. Dia (Anwar) tak masuk pilihan raya pun masa itu. (Anwar) Masuk pilihan raya kemudian dan pilihan raya kecil tidak boleh jadi ukuran.

“Sebab itu, kepada kita biar Tun memimpin lagi. Biar beliau sendiri yang dapat mengendalikan urusan ini dan perlu seorang Perdana Menteri yang boleh diterima majoriti ahli-ahli Parlimen.

“Dato’ Seri Anwar, parti dia sendiri pun tidak terima macam mana? Berpecah dua, sebahagian PKR ada yang terima dan tak terima dalam satu parti.

“Macam Tun Dr Mahathir ini, PAS boleh terima, Umno boleh terima, sebahagian PKR boleh terima. Sekarang ini kita melihat majoriti ahli-ahli parlimen ini dengan Tun.

“Sebab itulah alasan kita supaya Tun terus kekal sebagai Perdana Menteri. Jangan kata saya ‘batu api’ pula, saya tidak masuk mana-mana dalam parti yang krisis itu,” tegasnya selepas Kuliah Dhuha di Masjid Rusila, hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi. – HARAKAHDAILY 20/9/2019