Penting kuasa politik negara dipegang kaum majoriti

KUALA LUMPUR: Keamanan akan terjamin apabila sebuah negara itu diperintah dan dikuasai politiknya oleh majoriti rakyat negara tersebut, demikian menurut Timbalan Ketua Muslimat PAS Malaysia, Dr Rosni Adam.

Advertisement

Beliau mengemukakan realiti yang berlaku di beberapa negara atau wilayah dunia yang berkonflik ekoran daripada penduduk majoriti dan pemimpinnya berlainan kaum atau pegangan agama mereka.

“Isu Kashmir sekarang. Apabila India dan Pakistan mendapat kemerdekaan daripada British, mereka memberi wilayah-wilayah tertentu untuk memilih sama ada menyertai India ataupun Pakistan.

“Ada beberapa wilayah yang majoriti rakyatnya beragama Islam, tapi pemimpinnya (beragama) Hindu atau bukan Islam. Contoh Kashmirlah, majoriti beragama Islam dan rakyat hendak bergabung dengan Pakistan, tetapi pemimpin hendak India.

“Hyderabad, majoriti rakyat Hindu, tetapi pemimpin dia Islam. Pemimpin nak kepada Pakistan, tapi rakyat nak kepada India. Bila peringkat antarabangsa masuk campur, Hyderabad pergi kepada India mengikut majoriti rakyat.

“Tetapi Kashmir tidak begitu, diletakkan di bawah India dan diberi autonomi,” ujarnya turut membuka wacana kepada dasar Apartheid di Afrika Selatan dahulu di mana majoriti bangsa kulit hitam diperintah minoriti kulit putih; menimbul huru-hara dan ketidakamanan.

Dengan itu juga sokongnya, pewartaan pendaftaran pengundi bermula seawal usia 18 tahun akan meningkatkan lagi jumlah majoriti rakyat yang akan menentukan hala tuju negara. – HARAKAHDAILY 20/9/2019