Tahniah Graduan Konvokesyen APSA – DMPM

MAJLIS konvokesyen APSA yang ke 2 bakal dirasmikan oleh Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di Dewan Dato’ Hj. Fadzil Mohd. Nor, Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM) pada 21 September 2019.

Advertisement

Dewan Muslimat PAS dengan penuh takzim mengucapkan tahniah dan syabas kepada para graduan Akademi Pengajian Saidatina Aisyah (APSA) di atas daya usaha, kegigihan dan kesabaran sepanjang mengharungi pengajian masing-masing.

Penghargaan tidak terhingga kepada seluruh tenaga pengajar APSA, para pensyarah yang telah banyak bekorban masa, tenaga dan dengan ikhlas menjalankan amanah sebagai guru tanpa jemu dan lelah. Semoga Allah terus mengurniakan kekuatan, kesihatan dan dipermudahkan segala urusan para tenaga pengajar dan para naqibat yang masih dalam pengajian.

Sokongan dan dorongan yang telah diberikan oleh semua peringkat sama ada di negeri, kawasan, cawangan dalam membiayai pengajian pelajar APSA turut perlu dihargai oleh para graduan dan para naqibat. Sesungguhnya amal infak dan seluruh yang terlibat insyaAllah diganjarkan dengan pahala dan saham jariah yang berkekalan kelak.

Setulus kasih juga diucapkan kepada para ibu bapa, suami yang telah memberikan semangat dan dukungan yang penuh kepada pasagan dan anak-anak mereka untuk menamatkan pengajian di APSA ini. Tanpa mereka semua, kejayaan manis ini tidak dapat dilakar pada hari konvokesyen esok.

Akhir kata, setinggi tahniah dan syabas sekali lagi kepada semua graduan konvokesyen APSA ke 2. Semoga ilmu dan pengalaman dapat terus disemak dan dikongsi ke medan lapangan kelak.

Sirru ala barakatillah!

YB SENATOR USTAZAH NURIDAH SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
20 Muharram 1441
20 September 2019 – HARAKAHDAILY 20/9/2019