APSA tawar enam kursus untuk kaum wanita

GOMBAK: Akademi Pengajian Saidatina Aisyah(APSA) membuka peluang kepada para wanita untuk melanjutkan pengajian di peringkat persijilan dan diploma dengan menawarkan enam kursus utama.

Advertisement

Antaranya, Diploma Eksekutif Naqibat (DEN), Diploma Eksekutif Syifa Aisyah (DESA), Diploma Eksekutif Kepimpinan AKIFI (DEKA), Diploma Eksekutif Pengurusan Rumah Tangga (DEPM), Diploma Esekutif Umrah dan Haji (DEUHA) dan Kursus Persijilan ICT.

Ketua Pengarahnya, Dr Ustazah Wahibah Tahir berkata, kursus ditawarkan APSA adalah berkonsepkan pembelajaran berterusan untuk mendalami ilmu-ilmu Islam dan meningkatkan kemahiran kewanitaan yang sesuai dengan keperluan zaman semakin mencabar.

Mengulas lanjut berkenaan APSA, beliau berharap akademi tersebut mampu berkembang sebagai sebuah institusi pendidikan suatu hari kelak dengan dokongan para graduan akademi.

“Saya mengharapkan para graduasi akan terus menjadi pendokong tegar APSA sama ada terus menyambung pengajian menerusi program-program baru yang ditawarkan, menjadi penyebar ilmu meneruskan risalah dakwah ini.

“Di samping ribat (mengikat diri) dengan Gabungan Alumni APSA (GASA) agar tenaga Alumni dapat disusun dengan lebih berstrategik dari semasa ke semasa,” ujarnya di majlis Konvokesyen APSA Kali Kedua di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) di Taman Melewar, di sini semalam.

Dalam satu kenyataan lain, pihak APSA turut mensasarkan penubuhan akademi ini di setiap negeri dan kini sepuluh APSA cawangan telah ditubuhkan antaranya di Pahang, Kedah, Perlis, Penang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Sabah. – HARAKAHDAILY 21/9/2019