Desa pedalaman Lipis turut dilanda semarak PU

LIPIS: Semangat Penyatuan Ummah hingga termeterainya Piagam Muafakat Nasional dari HPU914 di PWTC minggu lalu semakin bersemarak hingga dukungan sama turut melanda ke Dun Benta.

Advertisement

Merealisasikan permuafakatan itu, jawatankuasa parti dari tiga kampung iaitu Kampung Peruang, Kampung Chat dan Kampung Tualang Padang berpadu tenaga mengadakan Himpunan Penyatuan Ummah.

Majlis menempa sejarah umat itu berlangsung penuh semangat ukhuwah hingga menghimpunkan ahli-ahli serta pimpinan PAS dan Umno di Dewan Orang Ramai Kampung Peruang, di sini malam tadi.

“Ini adalah satu sejarah, kerana program seperti ini dimulakan di luar bandar dan ianya akan dibawa ke seluruh Parlimen Lipis,” demikian iltizam dilontarkan Yang DiPertua PAS Kawasan Lipis, Roslan Zainal Ahmadi.

Turut hadir sama dan memberi ucapan pada himpunan tersebut adalah Ahli Parlimen Lipis, Dato’ Seri Abdul Rahman Muhammad dam Adun Luit, Sofian Abdul Jalil serta Ketua Pemuda Umno Negeri Pahang, Mohd Farid Mohd Nor.

Hadir sama pada majlis dihadiri ratusan ahli PAS dan Umno serta penduduk adalah wakil khas Menteri Besar Pahang, Fazli Mohd Kamal serta pimpinan PAS Kawasan dan Umno Bahagian Lipis.

Sofian dalam ucapannya mengingatkan betapa Penyatuan Ummah ini adalah titik permulaan untuk kembali kepada pemerintahan cara Islam seterusnya membina kuasa politik yang tidak akan dipengaruhi oleh kuasa politik selainnya.

Manakala Dato’ Seri Abd Rahman pula mengungkap nasihat untuk penyatuan tersebut dipelihara ikatannya dengan tidak lagi membangkitkan perkara-perkara di masa lalu.

Himpunan ini telah diawali sejak Jumaat lalu dengan program Sukan Penyatuan Ummah, disusuli majlis solat Hajat, bacaan Yaasiin dan tahlil serta jamuan makan malam perdana yang diakhiri majlis ikrar. –HARAKAHDAILY 22/9/2019

IMG 20190922 WA0026