Maafkan kisah lampau, bersatu hadapi ancaman PH

TAMBUN: Kemaafan akan memadamkan permusuhan di mana sejarah lampau antara PAS dan Umno tidak harus dibangkitkan lagi kerana kedua-dua pihak mempunyai cabaran lebih utama untuk dihadapi iaitu PH.

Advertisement

Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria menegaskan bahawa tindakan pimpinan PAS sentiasa membuat keputusan berdasarkan dalil dan nas al-Quran yang mesti diyakini oleh setiap ahli.

Perkara itu dinyatakan beliau ketika memberi ucapan dalam Ijtimak PAS Kawasan Tambun yang telah dilangsungkan di Pusat Tarbiyah PAS Tambun, Taman Meru 1A, Ipoh, di sini malam tadi.

“Kalau nak kira sirah Rasulullah dulu lebih banyak penderitaan dan keseksaan. Pelbagai tragedi menimpa perjuangan Baginda bermula dari awal kenabian hingga kepada pelanggaran Perjanjian Hudaibiyah.

“Jika Rasulullah dulu pun boleh memaafkan Musyrikin Makkah selepas Fathu Makkah, kenapa kita hari ini tidak boleh memaafkan Umno?

“Pelbagai ancaman berlaku ke atas Islam kerana lemahnya suara wakil rakyat Islam dalam Parlimen dan tidak mampu mencapai majoriti untuk melawan suara Liberalis yang mendukung suara kesesatan.

“Pelbagai polemik dibangkitkan antara kaum oleh Kerajaan PH. Antaranya idealisasi ratifikasi ICERD. Hal ini salah satu contoh PH ialah satu mudarat besar untuk umat Islam hindari,” ujarnya.

Sehubungan itu beliau yang juga Adun Gunung Semanggol mengingatkan, perjuangan masa dulu sebagai Fardu Kifayah kepada sesetengah umat Islam, kini menjadi Fardu Ain ke arah mempertahankan hukum dan ancaman.

Kerana itu peringatnya, amat perlu PAS dan Umno yang terdiri dari umat Melayu Islam untuk bersatu bagi menangani semua cabaran tersebut masa kini sedang hebat berlaku dalam negara.

Beliau menerangkan penjelasan mengenai isu geopolitik umat ini dengan turut sama mengaitkan situasi yang sedang berlaku ke atas umat Islam di Kashmir dan berharap perkara tersebut tidak terjadi di negara ini.

Program pengukuhan fikrah perjuangan ini telah dihadiri sekitar 400 ahli dan pimpinan PAS Kawasan Tambun dipimpin Yang DiPertua, Ustaz Salleh Said. – HARAKAHDAILY 22/9/2019

IMG 20190922 WA0056

IMG 20190922 WA0055

IMG 20190922 WA0054