‘Psywar’: Waspada dengan penguasaan terhadap emosi

PROPAGANDA

Advertisement

Perang Psikologi boleh diterjemahkan secara ringkasnya sebagai propoganda atau perang saraf. Sebuah penulisan yang dikarang oleh Bela Szunyogh [1] menafsirkan

“Suatu tindakan yang dilancarkan menggunakan cara-cara psikologi dengan tujuan membangkitkan reaksi psikologis yang telah terancang terhadap orang lain”

Teknik perang ini lebih kepada penguasaan terhadap emosi, mood, kebangkitan dan sebagainya. Secara tak langsung ia mewujudkan kesan-kesan tertentu dalam jiwa ummat Islam yang akan dihuraikan selepas ini insyaAllah.

Secara khususnya Perang Psikologi ini lebih menjuruskan kepada penguasaan mood dan agak bersepadu dengan Perang Pemikiran. Ini kerana pemikiran itu sangat berkait rapat dengan psikologi.

Psywar di dalam al-Quran

Lihat pula beberapa penceritaan al Quran yang berkaitan dengan Perang Psikologi, yang membangkitkan emosi, mengawal mood dan sebagainya.

(1)     Diceritakan di dalam Surah Zukhruf ayat 51-53 bagaimana Firaun memainkan emosi para pengikutnya supaya mengenang jasa beliau. Ungkitan demi ungkitan ini lebih kepada menarik pengaruh pengikutnya, supaya menolak Nabi Musa A.S dan dakwahnya.

(2)     Ayat 18 Surah al Maidah menceritakan Bani Israel membangkitkan mood atau emosi bahawa mereka adalah bangsa yang terpilih. Lalu Allah S.W.T menjawab kembali “kalau mereka bangsa terpilih, kenapa Allah menyeksa mereka disebabkan dosa yang mereka lakukan?”

(3)     Beberapa ayat al-Quran tentang kisah para Anbiya’ terdahulu yang ditolak oleh kaumnya hasil daripada perang psikologi yang melabelkan Para Anbiya’ itu tukang sihir, gila, orang suci dan sebagainya.

(4)      Surah al-Baqarah ayat 247 menceritakan bagaimana golongan pembesar di zaman Talut mempertikai pelantikan beliau sebagai raja: “Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?”

Mereka tiada hujah untuk berhadapan dengan kebenaran. Yang mereka mampu hanya memainkan emosi, bangkitkan sentimen, ungkit jasa dan sebagainya.

Drama 11 September 2001

Tragedi 11 September 2001 merupakan “perasmian” kepada revolusi Islamophobia setelah sekian lama menjalar secara tak popular, khususnya melalui filem-filem. Tragedi ini lebih kepada nak mencetuskan mood baru ke arah membina persepsi Islam itu pengganas, radikal dan sebagainya.

Hasil tragedi ini juga, mereka muncul dengan menawarkan Liberalism (Perang Pemikiran) sebagai satu pendekatan sederhana berbanding Islam cara keras, teroris, radikal mengikut terjemahan mereka. Ringkas ceritanya, mereka cetuskan peristiwa keganasan, untuk mempersembahkan liberal yang agak sederhana supaya ia mudah diterima. [2]

Tidak cukup dengan itu, mereka ambil pendekatan yang lebih strategis apabila liberal ini dipromosikan oleh para agamawan sama ada secara terancang atau tanpa sedar. Ia lebih berkesan berbanding promosi yang dibuat oleh geng rambut warna warni.

Para agamawan ini akan muncul dengan dalil-dalil toleransi antara agama, sedangkan bila masa Islam itu tidak bertoleransi? Mereka muncul dengan dalil-dalil mudahnya Islam, sedangkan bila masa Islam itu syadid?

Mencucuh api perselisihan mazhab

Sektarian Mazhab juga merupakan salah satu bentuk perang psikologi. Apabila wujudnya aliran mazhab di dalam Islam, mereka melihat ini satu peluang untuk melaga-lagakan ummat Islam sesama sendiri, atas nama perang mazhab.

Secara simplenya, apabila sesebuah negara itu bermazhab Hanafi, mereka akan vokalkan suara individu yang bermazhab Syafie. Manakala negara yang bermazhab Syafie, mereka akan vokalkan suara individu bermazhab Hanafi. Lalu, tercetuslah mood perang Mazhab yang tak selesai.

Di negara-negara Timur Tengah yang sedang bergolak hari ini, dicetuskan perselisihan Sunni-Syiah. Contohnya kebangkitan Houthi (Syiah) yang merupakan golongan minoriti, banyak ditaja oleh Arab Saudi sendiri yang merupakan kawan rapat Israel-Amerika.

Analogi mudahnya, “orang tengah sedap-sedap bermazhab Sunni, tiba-tiba Syiah buat kacau”. Ataupun “orang tengah elok-elok bermazhab Syafie, tiba-tiba Wahhabi buat kacau”. Statement ini lebih kepada mewujudkan pergolakan mood, yang dikenali sebagai perang psikologi.

Kejatuhan Acheh dengan perselisihan

Kejatuhan Acheh sebagai satu pusat pemerintahan Islam selepas Melaka, menggamit sejarah yang mendukacitakan. Acheh terkenal dengan ketangkasan mereka menentang penjajahan. Lalu Belanda yang sedang berhadapan dengan Acheh, mengkaji apakah kelemahan mereka.

Munculnya Snouck Hugronje seorang Orientalis Barat menyamar sebagai Syeikh Abdul Ghafar, berkampung bersama Pak Kiyai di sana. Dia mendapati ada satu ruang untuk melemahkan Acheh, iaitu wujudnya mazhab.

Para Kiyai di Acheh menerapkan elemen khalaf dalam pendidikan pesantren di sana. Manakala para pelajar Acheh di Timur Tengah sama ada di Mesir, Makkah dan sebagainya mendalami manhaj ilmu secara salaf.

Lalu setelah pelajar-pelajar ini pulang ke Tanah Acheh, pertembungan ini disuburkan, perselisihan sengaja digeserkan. Muncullah Kaum Muda dan Kaum Tua. Mereka yang sepatutnya bersatu tenaga menentang penjajah akhirnya stamina mereka dihabiskan untuk berselisih.

Perselisihan diteruskan, manakala Belanda bertepuk tangan melihat Ummat Islam bertelagah sesama sendiri. Inilah muqaddimah kepada kejatuhan Acheh yang sememangnya terancang secara halus oleh pengkaji-pengkaji Barat.

Arab Spring 2011

Arab Spring 2011 juga merupakan salah satu daripada penguasaan terhadap mood melalui Perang Psikologi. Kebangkitan yang ditaja demi melaksanakan agenda New Middle East (Pemetaan Semula Asia Barat) selain daripada mempromosikan Islamophobia.

Barat yang sedang menonton peristiwa Arab Spring, mula menghukum terhadap Islam, antaranya “Negara yang diperintah Islam menjadi huru-hara”. Ditambah pula dengan drama-drama pengeboman di beberapa tempat awam, menambahkan lagi perencah Islamophobia tersebut.

Mood ini seakan akan hampir sama dengan kebangkitan Iran satu ketika dahulu yang dicetuskan oleh Khomeini. Tidak sedikit Ulama atau pengkaji Islam yang silau dengan kebangkitan yang dilakukan oleh beliau sehingga memuji-muji ketokohannya di dalam makalah masing masing.

Kalau ikutkan logik, dikatakan Arab Spring berlaku berpunca daripada masyarakat Arab hidup melarat di bawah kezaliman pemerintah Arab sejak sekian lama. Tetapi, selepas Arab Spring, kehidupan lebih melarat. Kalau ikutkan, hari ini lebih sesuai untuk di“spring”kan. Tapi tidak terjadi sedemikian.

– MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL, 19 September 2019

[1]     Psychological warfare; an introduction to ideological propaganda and the techniques of psychological warfare 1955

[2]     Rujuk artikel sebelum ini yang bertajuk The Created Collusion  – HARAKAHDAILY 22/9/2019 

FB IMG 1569078922740