Ameerah-Puteri Johor mula bersahabat mesra

JOHOR BAHRU: Ameerah Negeri Johor telah mengadakan pertemuan santai bersama Puteri Umno Johor yang dilangsungkan di Sedap Corner Restaurant, di sini kelmarin.

Advertisement

Masing-masing entiti PAS dan Umno ini telah diwakili oleh pimpinan negeri dengan turut disertai sama beberapa ketua di peringkat PAS Kawasan dan Umno Bahagian.

Pertemuan santai nyata memecahkan rasa ‘kekok’ anggota kedua-dua pihak tatkala beramah mesra setelah realitinya sekian lama saling bersaing dan bertentangan.

Lebih utama, pertemuan itu sebenarnya adalah penyatuan dalam menyahut seruan Piagam Muafakat Nasional untuk memperkasakan agenda Islam, Melayu dan Bumiputera secara bersepadu.

Menurut Pengarah Ameerah Johor, Nik Nor Nadhirah Nik Ismail, pertemuan ini sebagai tanda Muafakat Nasional yang dimeterai di peringkat Pusat dan disambut baik warga Muslimat Muda PAS.

Ketua Penerangan Muslimat PAS Johor, Hafsah Abdul Rahman turut berkongsi program Kor AKIFI yang telah dilaksanakan oleh Muslimat PAS untuk mendekati masyarakat kepada hadirin.

Ketua Puteri Umno Johor, Nur Ain Rahman pula amat berharap untuk bekerjasama dalam penganjuran program bernuansa Islami kerana menurutnya, Ameerah dan Muslimat dilihat lebih mampu menjalankan aktiviti tersebut.

Kedua-dua sayap wanita muda ini sepakat agar dapat bekerjasama di dalam program-program akan datang yang memberi manfaat kepada PAS dan Umno serta masyarakat secara amnya. – HARAKAHDAILY 23/9/2019 

IMG 20190923 WA0003