50,000 pengunjung dijangka ‘serbu’ HPPNT 2019

SETIU:  Lebih 50,000 pengunjung dijangka akan menggegarkan Pekan Jabi sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Terengganu (HPPNT) 2019 yang bermula esok, 25 hingga 28 September.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, HPPNT 2019 yang diadakan dua tahun sekali itu adalah sebagai satu pengiktirafan kerajaan kepada pemain dalam sektor pertanian.

Katanya, banyak jasa dan sumbangan yang telah mereka berikan terhadap pembangunan, kemakmuran dan kesejahteraan negeri.

“HPPNT juga menjadi satu medan untuk memudahkan orang ramai bertemu dengan agensi berkaitan pertanian bagi mendapatkan maklumat terkini serta khidmat nasihat.

“Dengan penuh takzim, bagi pihak Jawatankuasa Induk HPPNT 2019, saya mempersilakan semua tetamu untuk berkunjung menjadi sebahagian dari kejayaan dan kelangsungan program ini selama empat hari,’’ ujarnya.

Menurut beliau yang juga Adun Jabi, pengunjung yang hadir dalam program tersebut akan dihidangkan dengan pelbagai acara menarik.

“Antara yang dijangka menjadi tumpuan pengunjung ialah pertandingan dan pertunjukan lembu sado, kambing comel, pameran penyu, kerapu gergasi, dan pertandingan silat jatuh.

“Kita juga serikan program tersebut dengan forum perdana hal ehwal Islam pameran jentera dan peralatan pertanian, pameran hasil pertanian unik, karnival jualan, pameran pelbagai jabatan dan agensi serta banyak lagi,” tambah beliau.

Katanya lagi, beliau menjemput seluruh warga Terengganu untuk tidak melepaskan peluang bagi turut serta dalam program terbabit. – HARAKAHDAILY 24/9/2019